widgets

Monday, May 12, 2014


PENDEKATAN DAN KAEDAH MEMBACA




Bagaimana kanak-kanak belajar dalam konteks membaca?
Kanak-kanak sering didedah persekitaran, baik kepada situasi orang yang menutur, membaca, mengira,  mahupun sebaliknya. Kanak-kanak pada peringkat awat sudah terdedah dengan perkara sedemikian, bermaksud mereka lebih senang untuk memaplikasikan pengetahuan atau ilmu yang diberi oleh guru, khusus daripada guru bahasa dalam aspek membaca. Terdapat pelbagai pendekatan pembelajaran membaca yang dapat dikongsikan.

Kaedah dan pendekatan belajar membaca.
Dalam kaedah mengajar membaca khusus kepada murid di peringkat sekolah rendah dan pra sekolah, banyak elemen atau pendekatan yang boleh diambil sebagai asbab kelancaran murid-murid dalam aspek membaca. Antara pendekatan atau kaedah berkenaan, iaitu:

1) Berkongsi membaca 
Menurut Mahzan Arshad (2003:66), kaedah ini memberi peluang kepada murid yang lebih mahir untuk memberi tunjuk ajar atau menjadi model kepada murid  yang kurang mahir. Pendekatan mengajar membaca ini merupakan kaedah yang menggunakan perkongsian bahan bacaan dalam proses penguasaan kemahiran membaca.  Pemindahan atau perkongsian pengetahuan ini dilakukan melalui aktiviti perkongsian buku yang dibaca. Dengan cara ini akan membolehkan mereka  yang kurang mahir membaca akan cuba mengikut pelajar yang mahir membaca sekali gus meniru teknik-teknik yang digunakan oleh murid yang mahir untuk membaca dengan lancar selain dapat memahami makna bahan bacaan tersebut.
Dengan kata lain juga, guru boleh membaca lantang satu cerita dan mengajak murid-murid bersama-sama membaca Cerita akan dibaca beberapa kali, dan murid akan diberi peluang bagi bertindakbalas menerusi penulisan, lukisan, drama, perbincangan, dan pelbagai lagi aktiviti yang menarik. Melalui pendekatan sedemikian, ia lebih memudahkan lagi murid-murid dalam proses mengingati, disamping mereka akan ditugaskan membuat telaah untuk membuat penulisan balik, melukis atau sebagainya setelah proses membaca  ini selesai. Murid-murid boleh juga membuat ringkasan berdasarkan medium yang dibaca, sebagai contoh sekiranya medium yang didedahkan adalah cerita binatang seperti ‘Sang Kancil dan Buaya’, mereka boleh membuat ringkasan penulisan dalam bentuk ayat atau ‘point’ seperti mengatakan  ‘Sang Kancil merupakan binatang yang pintar’, Sang Buaya sering dikenakan oleh Sang Kancil’. Pada peringkat sekolah rendah, sangat mudah untuk mereka faham apa-apa yang ingin disampaikan oleh guru melalui pendekatan ini.

2)Membaca  Lantang
Pilih seorang pelajar untuk membaca lantang bahagian awal teks sementara pelajar lain mengikut bacaan tersebut secara beramai-ramai bincang, bertindakbalas, dan semak telahan. Apabila pelajar berhenti membaca lantang, ceritakan semula atau bincangkan apa yang telah dibaca. Melalui pendekatan membaca lantang ini juga dapat memudahkan para murid untuk belajar membaca, malah secara leterasinya. Guru perlu mengenalpasti murid yang berpotensi untuk membaca lantang, disamping murid-murid  lain yang lemah dengar dan mengikutinya.

3) Kaedah Induktif dan Deduktif
Hasil daripada pemerhatian yang dijalankan contoh pengajaran membaca yang menggunakan pendekatan induktif adalah seperti berikut :
 a. ba / ca bu / ku  =  baca buku
 b. sa / ya ki / ta =  saya kita
Guru akan menerangkan terlebih dahulu contoh yang sesuai kepada murid, sebagai contoh guru akan mengeja perkataan di atas terlebih dahulu sebelum murid mengikutinya. seterusnya pelajar akan dibimbing untuk mengeja perkataan yang seterusnya. Pemberian contoh yang baik akan memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran membaca dijalankan.
            Dalam pendekatan deduktif pula, contoh yang didapati hasil daripada pemerhatian adalah seperti berikut :
 a. me / re / ka ke / re / ta ke / ru / si
 b. be / ri / ta al / ma / ri da / hu / lu
            Pada awalnya guru memperkenalkan perkataan yang mempunyai tiga suku kata. Kemudian murid diminta menyebut satu persatu suku kata tersebut dengan bimbingan guru sehinggalah murid benar-benar faham. Selepas itu, murid akan diperkenalkan dengan perkataan yang mempunyai tiga suku kata yang berlainan sedikit seperti ma / ka / nan, ca / ta / tan, dan him / pu / nan. Pelajar diminta membuat rumus bagi mengkaji perbezaan yang terdapat dalam perkataan tersebut dengan perkataan yang awal tadi.

4)  Pendekatan Abjad Dan Suku Kata

Pendekatan ini menekankan pengenalan abjad dan suku kata kepada murid. Ia boleh dilaksanakan melalui :-
a) Murid mengenali huruf dan juga hubungannya dengan bunyi.
b) Huruf konsonan pula digabungkan dengan huruf vokal menjadikan suku kata
c) Unit-unit kecil vokal juga digabungkan.
d) Pelaksanaan latih tubi sehingga pelajar boleh mengikuti kemahiran yang diajar.
e) Pengukuhan juga dilakukan melalui penulisan.

Kaedah yang paling kerap digunakan ialah kaedah abjad. Kaedah ini disebut kaedah abjad kerana pada permulaannya murid diperkenalkan dengan abjad. Dalam kajian yang dijalankan sejumlah empat subjek menggunakan kaedah ini.  Semasa proses pengajaran dijalankan nama huruf-huruf tersebut disusun dan disebut serentak iaitu daripada A hingga Z. Setelah murid mengenal abjad dan menghafalnya baharulah guru akan mengajar mereka mengeja perkataan-perkataan yang pendek. Misalnya perkataan ibu, bapa, bola dan tiga. Semasa pelajar diajar mengeja, mereka hendaklah disuruh menyebut perkataan tersebut serentak. Misalnya b-a-j-u (baju).
5)Kaedah Fonik

Kaedah fonik merupakan kaedah mengajar membaca dengan melatih murid-murid menghubungkaitkan bunyi-bunyi tertentu dengan lambang-lambang tertentu (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010:414). Jelaslah bahawa kaedah fonik ini merupakan kaedah pengajaran membaca yang lebih menekankan terhadap proses membunyikan huruf-huruf yang hadir dalam teks bacaan. Hal ini kerana kebiasaannya pada peringkat awal, kanak-kanak menghadapi kesukaran untuk memahami perkataan-perkataan yang mempunyai suku kata yang panjang dan banyak. Hal ini telah menyebabkan mereka gagal untuk memahami makna perkataan tersebut. Oleh sebab itu, sebagai langkah awal, kanak-kanak perlu diajar untuk menyebut huruf-huruf yang hadir dalam perkataan kerana dengan cara ini mereka akan mencuba untuk menyebut bunyi huruf-huruf tersebut dengan sebutan yang betul sekali gus mereka akan melatih diri mereka untuk mengeja suku kata perkataan tersebut.        
            Selain itu, menurut Naffi Mat (2006:87), kaedah fonik ini amat bersesuaian dengan pelajar KBSR. Hal ini kerana pendekatan ini lebih mementingkan kaedah bunyi fonem yang merupakan hasil gabungan antara suku kata dan kaedah pandang sebut. Sebagai contohnya, jika guru menunjukkan huruf “m” sambil menyebutnya, murid-murid akan mengikut bunyi yang disebut oleh guru sehingga mereka dapat mengingati huruf berserta bunyi bagi huruf tersebut. Kemudian guru akan menggabungkan huruf konsonan dengan huruf vokal bagi membentuk suku kata seperti “m” + “a” = “ma”. Jika proses pengajaran berjalan dengan lancar, guru boleh melanjutkan pembelajaran dengan membentuk satu suku kata tertutup yang lain”, iaitu “mak”. Guru boleh menggabungkan kedua-dua suku kata tersebut untuk membentuk perkataan “mamak’ dan guru boleh meminta murid-murid untuk membaca perkataan “mamak” secara berulang kali sehingga murid-murid mahir dan menguasai makna perkataan tersebut.
Pada awalnya guru memperkenalkan sesuatu huruf kepada murid dengan menunjukkan bentuk huruf tersebut bersama gambar benda yang namanya bermula dengan huruf fonik tersebut. Misalnya guru menunjukkan gambar ayam dengan huruf a, dan gambar bola dengan huruf b. Sambil memperlihatkan gambar dan huruf awal yang berkaitan guru menyebut fonik huruf tersebut. Misalnya ‘aa’ (a) iaitu ayam dan ‘bi’ (b) iaitu bola. Selepas pelajar mengenal bentuk dan bunyi fonik huruf-huruf yang berkaitan baharulah murid tadi diajar mencantumkan bunyi huruf berkenaan menjadi suku kata atau perkataan.
Kaedah suku kata juga diterapkan semasa pengajaran dan pembelajaran membaca awal dijalankan. Sejumlah dua subjek yang menggunakan kaedah ini. Daripada pemerhatian dan temu bual, kaedah suku kata dimulakan dengan mencantumkan satu huruf konsonan dan vokal. Misalnya ka-ki-ku, pa-pi-pu, dan ra-ri-ru. Seterusnya murid diajar membaca perkataan-perkataan yang mudah dengan cara mencantumkan suku-suku kata yang telah diajar tadi. Contohnya kaki, para, dan pari.

6)Kaedah pandang sebut
Pendekatan ini merupakan kaedah yang dimulakan dengan mendedahkan murid kepada perkataan-perkataan. Kaedah ini berbeza dengan pendekatan kaedah fonik yang lebih mementingkan pembelajaran huruf (fonem) atau suku kata kepada murid terlebih dahulu. Proses pengajaran dengan menggunakan kaedah ini boleh dimulakan dengan aktiviti memandang dan menyebut beberapa perkataan. Guru boleh menggunakan alat bantu mengajar (ABM) dengan menyediakan beberapa keping gambar yang melambangkan perkataan-perkataan yang disebut. Oleh itu, murid boleh melihat gambar yang ditunjukkan oleh guru dan mereka perlu menyebut perkataan-perkataan yang mewakili gambar-gambar tersebut dengan tepat.
            Selain itu, kaedah ini berfungsi dengan murid perlu mengecam dan mengenal pasti keseluruhan perkataan. Setelah pelajar berjaya mengecam perkataan tersebut, murid tidak mengeja atau membunyikan suku kata perkataan tersebut, tetapi murid perlu menyebut perkataan tersebut. Dengan erti kata lain, dalam  konteks ayat pendek dan mudah, murid-murid tidak mengeja satu persatu perkataan yang terdapat dalam binaan ayat tersebut, tetapi murid-murid akan terus menyebut ayat tersebut setelah mereka mampu mengecam ayat tersebut. Kaedah ini memerlukan latih tubi yang berterusan kerana tahap murid-murid yang mampu untuk  menguasai kemahiran membaca terus adalah berbeza-beza. Hal ini kerana kebiasaannya pada peringkat awal, kanak-kanak sukar untuk menyebut perkataan-perkataan atau rangkai kata tanpa perlu mengeja terlebih dahulu.
 Dalam pengajaran dan pembelajaran membaca mengikut kaedah ini, guru akan menggunakan kad bagi memperlihatkan sesuatu perkataan. Guru pula akan menyebut perkataan tersebut dan murid akan mengikutnya secara beramai-ramai dengan cara mengenal bentuk dan lambang perkataan. Misalnya perkataan bola, abang, adik dan limau. Setelah murid mengenali beberapa perkataan asas. Guru akan mengajar murid membaca ayat-ayat yang mudah dibina berdasarkan perkataan-perkataan asas yang sudah dikenali oleh murid. Bermaksud murid telah disediakan beberapa perkataan yang khusus, yang murid hanya perlu membina beberapa satu berdasarkan dengan perkataan yang diberi.
Contoh :
 1. Abang ada bola.
 2. Adik ada bola.
 3. Abang dan adik ada bola.
Selain itu, daripada pemerhatian yang dijalankan guru kadangkala menggunakan buku teks yang disediakan sebagai bahan bantu untuk mengajar kaedah pandang sebut.

7)Kaedah Multisensory ( sentuh, pandang dan dengar)
Rangsangan yang diberikan kepada pelbagai deria yang ada (sentuh, pandang, dan dengar) akan meningkatkan dan mempercepatkan pemahaman anak-anak kepada asas-asas kemahiran membaca. Untuk menguasai kemahiran membaca dengan baik seseorang kanak-kanak itu sekurang-kurangnya perlu dirangsang deria pandang dan deria dengarnya. Ini kerana melalui deria pandang anak-anak akan kita perkenalkan dengan bentuk-bentuk huruf sementara deria dengar pula memberikan maklumat bunyi (fonik) huruf yang dilihatnya. Dalam banyak kes membenarkan anak-anak merasa atau menyentuh bentuk-bentuk huruf (melalui keratan huruf atau huruf yang dibentuk menggunakan tanah liat contohnya) akan memperkukuhkan lagi apa yang dilihat dan didengarinya.

8)Membacakan Carta Dan Buku Kepada Kanak-Kanak


Apabila orang dewasa membacakan carta atau buku kepada kanak-kanak, tunjuk dengan jari di bawah perkataan atau huruf. Gerakkan jari dari arah kiri ke kanan untuk memberi penekanan bermula dari kiri ke kanan sama ada membaca atau menulis dan menjarakkan antara perkataan. Memperkenalkan nama pengarang dapat membantu kanak-kanak menyedari bahawa pengarang buku itu mecipta cerita dan apa yang direka boleh ditulis. Semasa membacakan perkataan atau huruf hendaklah dengan jelas dan sebutan yang betul. Pembaca perlu jelas dalam aspek sebutan perkatan atau ayat supaya murid-murid dapat menangkapnya dengan berkesan.

1 comment:

  1. terbaik larhhhhhh....bahagian kaedah dan pendekatan ni.

    ReplyDelete