widgets

Monday, May 12, 2014


Pemilihan bahan bacaan

Tujuan pemilihan bacaan adalah sangat penting. Ia perlulah bersesuaian dengan peringkat umur. Hal ini disebabkan penggunaan kosa kata yang berlainan serta berbeza. Contohnya, buku-buku ilmiah menggunakan bahasa dan kosa kata dari aras yang tinggi. Hanya orang dewasa sahaja yang mampu memahaminya. Jika diberikan pada kanak- kanak ,sudah pasti mereka tidak dapat memahami teks tersebut. Terdapat dua jenis bahan bacaan iaitu bahan bacaan fiksyen dan bukan fiksyen. Bahan bacaan fiksyen ialah bahan yang biasanya dibaca pada waktu lapang dan digolongkan dalam bahan bacaan yang ringan. Sebaliknya, bahan bacaan bukan fiksyen pula ialah bahan bacaan ilmiah dan mengandungi pelbagai maklumat yang penting di samping penggunaan bahasa yang tinggi.
                                                                                                  
Jenis-jenis bahan bacaan
1. Bahan Bacaan Mekanis (Bersuara)
Membaca bersuara sering juga menggunakan nama-nama yang berbeza seperti membaca mekanis, membaca oral, membaca ulat dan membaca nyaring. Walau apa pun nama yang digunakan, membaca mekanis ini merupakan satu aktiviti membaca yang disuarakan dengan jelas untuk menangkap dan memahamkan informasi, fikiran dan perasaan seseorang pengarang. Orang yang membaca harus mempunyai kemampuan untuk memaknakan apa sahaja yang tersirat dalam bahan-bahan yang dibaca. Lazimnya, ia harus memiliki kecepatan mata yang tinggi serta pandangan mata yang jauh. Ia juga harus boleh mengelompokkan kata-kata dengan baik dan cepat agar jelas maknanya bagi para pendengar.
Membaca mekanis merupakan satu keterampilan yang serba rumit dan kompleks yang menuntut pengertian terhadap aksara di atas halaman kertas dan memproduksikan suara yang tepat dan bermakna. Dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa, membaca mekanis yang digunakan lebih tertumpu kepada usaha menganalisis pengucapan (pronunciation) daripada pemahaman. Membaca mekanis adalah satu teknik yang mampu memenuhi pelbagai ragam tujuan serta mengembangkan sejumlah keterampilan serta minat. Untuk membolehkan penguasaan membaca nyaring atau membaca secara mekanis ini, pembaca haruslah dapat terlebih dahulu menguasai keterampilan persepsi yang melibatkan penglihatan dan daya tanggap yang membolehkan kita mengenal, memahami kata-kata dengan cepat dan tepat.
            Aspek lain yang sama pentingnya adalah kemampuan mengelompokkan kata-kata dalam satu kesatuan fikiran serta membacanya dengan baik dan lancar. Bacaan bersuara ialah bacaan mekanis yang menyuarakan tulisan dengan sebutan yang jelas dan terang, dengan intonasi dan irama mengikut gaya membaca yang betul dengan menggerakkan alat-alat pertuturan.

2. Bahan Bacaan Mentalis (Senyap)
Membaca senyap atau membaca dalam hati (silent reading) ialah kegiatan membaca yang melibatkan ingatan visual (visual memory) dan pengaktifan mata dan ingatan. Tujuan utama membaca jenis ini adalah untuk memperoleh informasi dan pemahaman. Dibandingkan dengan membaca nyaring, membaca dalam hati atau membaca senyap adalah lebih ekonomis, dan dapat dilakukan di mana-mana sahaja. Biasanya, membaca dalam hati atau senyap ini melibatkan dua jenis bacaan, iaitu membaca insentif dan membaca ekstensif.
Kedua-duanya mempunyai ciri-ciri yang tersendiri. Oleh itu, bacaan senyap atau bacaan akaliah ialah bacaan yang disuarakan dalam hati atau menukar isi bacaan kepada maknanya tanpa mengeluarkan suara. Kelajuan bacaan senyap lebih pantas daripada bacaan bersuara kerana beberapa perkara yang dilakukan dalam bacaan bersuara seperti nada suara, sebutan yang jelas dan sebagainya tidak diperlukan dalam bacaan senyap. Bacaan senyap ini dijalankan sesudah murid-murid mencapai kemahiran dan kecekapan bacaan bersuara.

3. Bahan Bacaan Intensif (Pantas dan Imbasan)
Bacaan intensif ialah kegiatan membaca yang menuntut ketelitian dan dilakukan secara saksama yang melibatkan telaah isi dan pandangan terperinci sesuatu bahan bacaan. Dua perkara yang dilibatkan dengan bacaan insentif ini adalah membaca telaah isi dan membaca telaah bahasa. Dalam telaah isi ini, membaca teliti, membaca pemahaman, membaca kritis dan membaca idea adalah ditekankan. Bacaan intensif adalah bacaan yang pada asasnya bertujuan memperkembangkan kebolehan dalam meneliti, memahami dan mentafsir apa sahaja yang dibaca dengan tepat. Bacaan tersebut juga memberi penekanan kepada kajian terhadap ciri-ciri tatabahasa, meneliti pembentukan dan penggunaan perkataan, serta pemakaian bahasa itu dalam konteks dan situasi yang berlainan.
Bacaan intensif boleh juga boleh dibaca dengan pelbagai dua cara salah satunya ialah membaca pantas. Bacaan pantas adalah satu bentuk kegiatan membaca yang dilakukan dengan kadar kelajuan tertentu dan tujuannya adalah untuk menjimatkan masa. Walau bagaimanapun, membaca yang terlalu laju tidak semestinya baik. Sebaik-baiknya, kadar kelajuan membaca haruslah disesuaikan dengan apa yang dibaca dan tujuan membaca ketika itu.
Membaca yang dilakukan dalam keadaan yang terlalu pantas akan menyebabkan pembaca kehilangan isi-isi penting yang diperlukan atau gagal menggarap keseluruhan konsep yang cuba diketengahkan. Walau bagaimanapun, membaca yang terlalu perlahan tidak pula menguntungkan kerana hanya akan membazirkan masa. Membaca pantas hanya boleh berlaku melalui bacaan senyap atau membaca dalam.
Hal ini demikian kerana dalam bacaan kuat atau bersuara, pembaca akan menurunkan keupayaan membaca mereka pada kadar kelajuan bercakap. Sewaktu membaca kuat, pembaca akan melibatkan pergerakan bibir dan lain-lain alat pengucapan manusia. Selain daripada membaca pantas, kedua-duanya ialah bacaan imbasan yang juga dikenali sebagai scanning adalah kegiatan membaca yang dilakukan secara sepintas lalu. Hal ini disebut sebagai membaca tinjauan. Kebiasaannya, sebelum kegiatan membaca itu dilakukan, pembaca akan meneliti terlebih dahulu bahagian-bahagian buku atau apa sahaja yang harus ditelaah. Hal ini dilakukan untuk mendapatkan maklumat awal dan gambaran keseluruhan tentang buku tersebut sebelum ia menjadi pilihan untuk dibaca.
Membaca sepintas lalu ini melibatkan pembaca memeriksa, meneliti indeks, melihat daftar kata yang terdapat dalam buku tersebut. Kadang kala proses melihat-lihat, memeriksa dan meneliti judul-judul bab juga dilakukan. Hal ini juga berlaku pada skema, rangka kasar buku, bahagian bibliografi, kandungan prakata, pendahuluan, sinopsis, abstrak dan sebagainya

4. Bahan Bacaan Ekstensif
Membaca ekstensif ialah kegiatan membaca secara luas. Objeknya meliputi sebanyak mungkin teks dalam jangka waktu yang singkat. Tujuan atau tuntutan kegiatan membaca ekstensif adalah untuk memahami isi yang penting-penting dengan cepat dan ia menganjurkan aktiviti membaca yang berkesan. Membaca ekstensif biasanya melibatkan perkara-perkara yang berikut:

a. Membaca tinjauan (survey reading)
Membaca tinjauan (survey reading) dilakukan sebelum kita memulakan sesuatu bacaan. Biasanya, kita akan meneliti apa yang akan kita telaah itu terlebih dahulu. Hal ini mungkin melibatkan kita memeriksa, meneliti indeks dan daftar kata yang terdapat dalam buku-buku tersebut atau mungkin kita akan melihat-lihat atau meneliti judul, bab, rangka besar, kandungan dan sebagainya. Latar belakang pengetahuan seseorang akan menentukan tepat atau tidaknya, cepat atau lambatnya tinjauan dapat dilakukan

b. Membaca sekilas (skimming)
Membaca sekilas (skimming) adalah sejenis kegiatan membaca yang melibatkan mata bergerak dengan cepat melihat, memperhatikan bahan-bahan bertulis untuk mencari dan mendapatkan maklumat dan penerangan.

c. Membaca dangkal (superticial reading)

Skimming adalah satu bentuk kegiatan membaca yang dilakukan secara sekilas pandang. Biasanya, melalui proses skimming, mata bergerak dengan cepat, melihat memerhatikan bahan bertulis untuk mendapatkan maklumat atau penerangan dengan serta-merta.

No comments:

Post a Comment