Proses membaca memerlukan hubungan yang penting di antara mata dan minda. Seperti yang kita ketahui, mata adalah elemen penting untuk kita melihat dan minda pula adalah pemikiran kita. Dalam proses membaca, mata akan digunakan untuk melihat dan seterusnya menghantar objek-objek yang dilihat ke dalam minda. Minda akan memproses maklumat tersebut dengan kadar yang segera dan secara tidak langsungnya minda dan mata akan bergerak aktif untuk menjayakan proses membaca. Minda yang aktif perlu memainkan peranan penting dalam proses membaca kerana tanpa minda yang aktif, kita tidak mampu untuk mencerna maklumat yang kita lihat dengan baik atau dalam erti kata lain buta huruf.


Semasa proses di awal belajar membaca, pembaca perlu
mengenal setiap huruf dan perkataan yang terdapat dalam teks bacaannya. Apa yang
paling penting adalah pembaca hanya perlu pandai untuk menyebut setiap
perkataan yang dibaca sahaja terlebih dahulu sebelum berpindah kepada pemahaman
terhadap bahan bacaan. Pembacaan secara berulang akan meningkatkan lagi mutu
bacaan mereka dan cara penyebutan perkataan juga turut tepat dan betul. Hal ini
penting bagi melahirkan mereka yang lancar dalam pembacaan dan akan memudahkan
mereka dalam memahami keseluruhan teks yang telah dibaca pula. Pembaca perlu
memulakan pembacaan dengan menyebut setiap satu suku kata perkataan dengan
tepat sebelum menyebut satu perkataan secara penuh. Sebagai contoh untuk
menyebut perkataan “saya” akan disebut satu suku kata satu suku kata iaitu “sa”
“ya” dan kemudian baru sebut penuh “saya”. Pembelajaran bacaan seperti ini akan
mudah memahirkan pembaca dalam membaca sesuatu teks. Belajar membaca adalah
secara berperingkat-peringkat barulah mudah lancar dalam pembacaan dan memahami
teks.
Belajar membaca seterusnya adalah cuba untuk memahami
teks yang dibaca. Setiap teks yang telah dibaca perlu difahami oleh setiap
pembaca agar apa yang dibaca mendapat hasil pada dirinya dan bukan sahaja
sia-sia iaitu membuat pembacaan tapi tidak mendapat apa-apa pengetahuan dalam
teks tersebut. Setiap ayat yang terdapat dalam teks perlu difahami secara
mendalam selepas selesai sesi mengenal huruf dan lancar dalam pembacaan.
Memahami apa yang dibaca merupakan sesuatu yang penting kerana dari pembacaan
dan faham apa yang terkandung di dalamnya akan membantu pembaca untuk mencari
isi-isi penting yang terdapat dalam teks dan dapat mentafsir maksud yang
tersirat dalam teks tersebut. Hal ini demikian kerana dalam setiap teks yang
kit abaca akan menggunakan bahasa kiasan yang memerlukan pemahaman kita untuk
memahami apa yang dimaksudkan dalam teks tersebut.
Seterusnya, belajar membaca teks juga adalah mengenal
dan mengecam lambang-lambang perkataan yang dilihat dalam teks dan membuat
perkaitan lambing yang ditunjukkan dengan bunyi atau makna yang tertentu.
Sebagai contoh dalam ayat yang dibuat dalam bentuk fonologi akan banyak
menggunakan lambang-lambang yang tertentu dan ini akan menyukarkan pembaca
untuk memahami maksud teks. Di sinilah amat penting untuk belajar membaca dalam
mengenal istilah-istilah yang khusus bagi lambang huruf fonologi. Mengenal
bunyi adalah satu cara belajar membaca secara lebih sistematik. Bacaan akan
menjadi lebih tepat dari segi sebutan bunyinya dan tidak akan keliru dengan
bunyi perkataan dengan perkataan lain. Hal ini penting kerana terdapat
perkataan yang mempunyai bunyi huruf yang sama dan melalui pembelajaran membaca
bunyi fonologi akan dapat membuatkan pembaca tahu untuk membezakan setiap bunyi
huruf tersebut.
Masalah
membaca yang berlaku dalam kalangan masyarakat atau kanak-kanak adalah berpunca
daripada faktor fizikal, faktor neurologikal, faktor keturunan, faktor emosi,
dan faktor luaran. Faktor fizikal yang mempengaruhi masalah membaca ialah
kecacatan yang tidak memampukan mereka membaca dengan baik. Penglihatan adalah
salah satu contoh faktor fizikal yang mempengaruhi masalah dalam membaca sama
ada mereka juling, rabun dekat, rabun jauh, astigmatism dan amblyopiks. Seperti
yang kita sedia maklum, masalah-masalah ini mempunyai kaitan di antara hubungan
mata dan sel otak. Sebagai contoh, mata yang juling akan menggunakan kedua-dua
biji matanya menuju ke arah yang sama dan hal ini akan mengakibatkan imej objek
yang dilihatnya tidak seimbang iaitu saiz dan bentuknya tidak sama. Sekiranya
kanak-kanak sukar untuk melakukan proses pada peringkat awal ini, maka mereka
akan mengalami masalah untuk meneruskan proses membaca pada peringkat yang
seterusnya.
Pendengaran juga merupakan salah
satu faktor fizikal yang mempengaruhi masalah membaca. Pelajar yang mempunyai
masalah pendengaran yang teruk akan menghadapi masalah untuk membezakan bunyi
vokal dan konsonan berbanding dengan pelajar yang mempunyai masalah pendengaran
yang ringan. Pelajar juga tidak akan dapat mengikuti apa yang dibaca oleh
gurunya akibat daripada masalah pendengaran yang dialami.
Faktor neurologikal pula adalah
berkaitan dengan sistem saraf manusia iaitu, saraf otak, tulang belakang, urat
dan sebagainya. Faktor neurologikal seperti kerosakan otak berpunca daripada
penyakit, kecederaan yang pernah dialami pada bahagian otak dan sebagainya akan
menyukarkan seseorang pelajar atau kanak-kanak untuk belajar membaca. Hal ini
kerana kemungkinan sistem saraf lambat bertindak dalam memberi tindak balas
kepada otak untuk diproses.
Selain itu, faktor keturunan juga
mempengaruhi masalah dalam membaca. Kajian mengatakan bahawa pelajar yang
berlatar belakangkan keluarga yang tidak tahu membaca akan mempunyai pencapaian
yang lebih rendah daripada pelajar yang berasal daripada keluarga yang pandai
membaca. Oleh yang demikian, pengaruh persekitaran juga mempengaruhi proses
membaca. Keluarga yang mengamalkan budaya membaca di rumah dan mempunyai bahan
bacaan yang mencukupi akan meningkatkan pencapaian anak-anak dalam pelajaran.
Ibu bapa adalah contoh yang terbaik bagi anak-anak untuk mengikuti jejak langkah
mereka.
Kegagalan dalam membaca akan
mengganggu emosi pelajar daripada terus
berusaha. Pelajar akan berasa rendah diri, terasing, kecewa dan
sebagainya apabila mereka mendapati bahawa mereka tidak setanding
rakan-rakannya yang lain. Hal ini akan menyebabkan mereka gagal untuk membaca
kerana tidak ada orang yang akan memberikan motivasi yang positif untuk terus
berusaha. Masalah emosi ini bukan sahaja akan menggagalkan mereka daripada
pandai membaca malah akan mengganggu pencapaian mereka dalam pembelajaran.
Faktor motivasi dari pihak tertentu
juga mempengaruhi keupayaan membaca. Kanak-kanak yang sering kali menerima
galakan untuk membaca akan lebih mudah dan cepat menguasai kemahiran membaca
berbanding dengan kanak-kanak yang tidak diberi galakan. Galakan dan dorongan
merupakan elemen yang sangat penting untuk membakar semangat pelajar agar terus
membaca. Seperti yang telah dilaksanakan di sekolah-sekolah seluruh Malaysia,
program nilam dapat membantu pelajar untuk menimba ilmu melalui pembacaan.
Pelajar yang paling banyak membaca buku akan diberikan anugerah atas pencapaian
yang dicapainya. Hal ini akan membakar semangat pelajar-pelajar lain untuk
mendapatkan imbalan yang setimpal dengan usaha mereka.
No comments:
Post a Comment