widgets

Monday, May 12, 2014

DEFINISI MEMBACA

Membaca merupakan satu kemahiran yang perlu dikuasai oleh semua golongan dalam kehidupan masa kini. Seseorang yang tidak tahu membaca dianggap sebagai seorang yang tidak berfungsi dalam banyak bidang kehidupan masa kini. Sememangnya, seseorang yang tidak tahu membaca akan mengalami kesusahan dalam menguruskan kehidupannya. Sebagai contoh, mereka tidak dapat bergerak dengan bebas apabila tidak tahu membaca kerana pelbagai tanda arah dan jalan yang perlu dilalui yang telah disediakan untuk kepentingan orang ramai. Bayangkanlah apabila berada di negara asing, sudah tentu, tanda-tanda arah ini amat penting untuk kita.
          
  Haris dan Sipay (1980) dalam memberikan definisi membaca menegaskan keperluan seseorang itu perlu mahir atau dapat membaca lambang-lambang bercetak bagi memberikan makna terhadap lambang yang dibacanya. Definisi yang banyak digunakan bagi mengukur keupayaan seseorang, sama ada dia “celik huruf” atau “buta huruf.” Seseorang yang dapat membaca menurut definisi Haris dan Sipay ini ialah orang yang dapat membezakan antara lambang yang bertulis dalam sesuatu bentuk tulisan tertentu dan lambang yang bukan bertulis, iaitu dalam bentuk lukisan bagi mengungkap sesuatu objek atau konsep tertentu.
            Definisi yang diberikan oleh Smith dan Johnson (1980) pula berkait dengan proses membaca sebagai satu proses komunikasi antara pembaca dengan penulis. Membaca menurut mereka ialah proses memahami apa yang dimaksudkan oleh penulis menerusi bahan yang dihasilkannya dalam bentuk paparan bertulis. Keupayaan membaca ialah keupayaan membuat tanggapan terhadap apa yang ingin dimaksudkan oleh penulis. Definisi ini ialah sepadan dengan definisi yang dikemukakan oleh Safiah Othman (1991), iaitu dari selagi seseorang tidak memahami apa yang dibaca maka dia belum lagi membaca. Definisi ini bermaksud pemberian makna terhadap bahan yang dibaca adalah penting bagi mengatakan bahawa seseorang itu berkeupayaan membaca atau mempunyai kemahiran membaca. Selagi beliau mempunyai masalah dalam proses memberi makna, maka selagi itulah beliau belum membaca.
            Definisi yang diungkapkan oleh Goodman (1973) pula terdapat sedikit kelainan daripada definisi yang diberikan oleh ketiga-tiga kumpulan tokoh di atas. Goodman telah membuat kajian tentang kebolehbacaan, iaitu bagi merungkaikan persoalan sejauh manakah sesuatu bahan tersebut dapat dibaca oleh seseorang pelajar. Goodman pernah menyatakan bahawa membaca adalah salah satu permainan teka-teki. Hal ini bermaksud, pembaca seolah-olah berteka-teki dengan bahan bercetak yang dibacanya. 
            Maksudnya di sini ialah pembaca semestinya mengetahui ungkapan kata-kata yang terdapat pada bahan yang dibacanya, tetapi beliau membuat tekaan terhadap sesuatu perkataan itu berdasarkan maksud yang paling hampir dengan perkataan yang beliau tidak pasti. Sebagai contoh, pembaca akan meneka perkataan “house” yang terdapat dalam bahan bacaan kepada perkataan “horse” yang selalu ditemuinya dalam bahan bacaan yang lain. Pembaca akan terus melakukan proses meneka ini, kemudian membetulkan sekiranya masih dapat keraguan makna dan menukarkannya kepada perkataan lain yang diyakininya lebih tepat. Begitulah proses berteka-teki ini akan berlaku sehinggalah pembaca tersebut benar-benar mahir dalam kemahiran meneka perkataan yang tepat ini.
            Terakhir ialah definisi yang dikemukakan oleh Mahzan (2003) yang menegaskan bahawa membaca ialah proses membina jambatan antara apa yang terdapat di minda penulis dengan apa yang terdapat di dalam minda pembaca. Definisi ini dikemukakan berdasarkan satu teori bacaan yang amat berpengaruh sekitar tahun 1990an iaitu skema. Teori ini menyatakan bahawa seseorang hidup dengan mengumpul seberapa banyak maklumat di dalam mindanya berlandaskan apa sahaja pengalaman yang dihadapi dalam hidupnya ini.


TEORI MEMBACA


Proses “Bottom-up”
Proses membaca boleh dikaitkan dengan proses memperoleh maklumat dan manfaat dari bahan yang dibaca. Terdapat dua cara proses ini boleh berlaku, iaitu pertama dengan  terlebih dahulu mengenal pasti huruf-huruf yang terdapat di permukaan bertulis, sama ada huruf dalam bentuk ortografi yang paling banyak digunakan oleh pelbagai bahasa di dunia masa kini seperti bentuk huruf roman (tulisan rumi) dan bentuk huruf Arab (tulisan jawi). Huruf-huruf ini kemudiannya digabungkan dalam satu sistem yang digunakan dalam sesuatu bahasa.
            Sebagai contoh, dalam bahasa Melayu, huruf-huruf roman ini disusun atur dalam satu sistem ejaan yang berstruktur sehingga dapat mewakili bunyi-bunyi perkataan dalam bahasa ini. Dari kumpulan perkataan ini, pembaca akan terus memperoleh makna daripada ayat yang terbentuk dari kumpulan perkataan tersebut. Dari ayat terbina pula perenggan ini memberi maksud dalam bentuk wacana kepada pembaca. Proses ini menjadi lengkap apabila pembaca memperoleh maklumat yang lengkap dari bahan yang dibacanya. 


Proses “Top-down”
            Proses kedua ialah proses top-down. Bagi melaksanakan proses ini pembaca tidak perlu mengenal pasti setiap patah perkataan yang terdapat pada bahan bercetak secara terperinci. Pembaca hanya perlu memahami bahan bacaannya secara keseluruhan terlebih dahulu. Setelah faham maksud petikan secara keseluruhan barulah pembaca membuat perincian maksud perenggan yang berbeza dan kemudiannya mencerakin ayat-ayat yang terdapat pada setiap perenggan sekiranya perlu. Mendapatkan maklumat secara menyeluruh adalah diutamakan dalam proses ini.

            Kaitan model top down ini dengan proses pengajaran dan pembelajaran adalah berasaskan Teori Pembelajaran Linguistik. Teori ini menegaskan bahawa makna tidak terdapat pada teks, tetapi terdapat dalam diri pembaca. Maksud petikan secara keseluruhan adalah lebih utama daripada individu perkataan yang dipaparkan dalam bahan bacaan.  Membaca melibatkan kiu bahasa iaitu grafonik, sintaksis dan semantik. Teori ini juga berpendapat bunyi atau fonik setiap patah perkataan tidak perlu tidak perlu dikuasai secara terperinci kerana membaca adalah satu proses membina makna dan bukan sebutan semata-mata.

No comments:

Post a Comment