Tuesday, May 13, 2014
Monday, May 12, 2014
DEFINISI MEMBACA
Membaca merupakan satu
kemahiran yang perlu dikuasai oleh semua golongan dalam kehidupan masa kini.
Seseorang yang tidak tahu membaca dianggap sebagai seorang yang tidak berfungsi
dalam banyak bidang kehidupan masa kini. Sememangnya, seseorang yang tidak tahu
membaca akan mengalami kesusahan dalam menguruskan kehidupannya. Sebagai
contoh, mereka tidak dapat bergerak dengan bebas apabila tidak tahu membaca
kerana pelbagai tanda arah dan jalan yang perlu dilalui yang telah disediakan
untuk kepentingan orang ramai. Bayangkanlah apabila berada di negara asing,
sudah tentu, tanda-tanda arah ini amat penting untuk kita.
Haris dan Sipay (1980) dalam memberikan definisi membaca menegaskan keperluan seseorang itu perlu mahir atau dapat membaca lambang-lambang bercetak bagi memberikan makna terhadap lambang yang dibacanya. Definisi yang banyak digunakan bagi mengukur keupayaan seseorang, sama ada dia “celik huruf” atau “buta huruf.” Seseorang yang dapat membaca menurut definisi Haris dan Sipay ini ialah orang yang dapat membezakan antara lambang yang bertulis dalam sesuatu bentuk tulisan tertentu dan lambang yang bukan bertulis, iaitu dalam bentuk lukisan bagi mengungkap sesuatu objek atau konsep tertentu.
Definisi yang diberikan oleh Smith dan Johnson (1980)
pula berkait dengan proses membaca sebagai satu proses komunikasi antara
pembaca dengan penulis. Membaca menurut mereka ialah proses memahami apa yang
dimaksudkan oleh penulis menerusi bahan yang dihasilkannya dalam bentuk paparan
bertulis. Keupayaan membaca ialah keupayaan membuat tanggapan terhadap apa yang
ingin dimaksudkan oleh penulis. Definisi ini ialah sepadan dengan definisi yang
dikemukakan oleh Safiah Othman (1991), iaitu dari selagi seseorang tidak
memahami apa yang dibaca maka dia belum lagi membaca. Definisi ini bermaksud
pemberian makna terhadap bahan yang dibaca adalah penting bagi mengatakan
bahawa seseorang itu berkeupayaan membaca atau mempunyai kemahiran membaca.
Selagi beliau mempunyai masalah dalam proses memberi makna, maka selagi itulah
beliau belum membaca.
Definisi yang diungkapkan oleh Goodman (1973) pula
terdapat sedikit kelainan daripada definisi yang diberikan oleh ketiga-tiga
kumpulan tokoh di atas. Goodman telah membuat kajian tentang kebolehbacaan,
iaitu bagi merungkaikan persoalan sejauh manakah sesuatu bahan tersebut dapat
dibaca oleh seseorang pelajar. Goodman pernah menyatakan bahawa membaca adalah
salah satu permainan teka-teki. Hal ini bermaksud, pembaca seolah-olah
berteka-teki dengan bahan bercetak yang dibacanya.
Maksudnya di sini ialah pembaca semestinya mengetahui
ungkapan kata-kata yang terdapat pada bahan yang dibacanya, tetapi beliau
membuat tekaan terhadap sesuatu perkataan itu berdasarkan maksud yang paling
hampir dengan perkataan yang beliau tidak pasti. Sebagai contoh, pembaca akan
meneka perkataan “house” yang terdapat dalam bahan bacaan kepada perkataan
“horse” yang selalu ditemuinya dalam bahan bacaan yang lain. Pembaca akan terus
melakukan proses meneka ini, kemudian membetulkan sekiranya masih dapat
keraguan makna dan menukarkannya kepada perkataan lain yang diyakininya lebih
tepat. Begitulah proses berteka-teki ini akan berlaku sehinggalah pembaca
tersebut benar-benar mahir dalam kemahiran meneka perkataan yang tepat ini.
Terakhir ialah definisi yang dikemukakan oleh Mahzan
(2003) yang menegaskan bahawa membaca ialah proses membina jambatan antara apa
yang terdapat di minda penulis dengan apa yang terdapat di dalam minda pembaca.
Definisi ini dikemukakan berdasarkan satu teori bacaan yang amat berpengaruh
sekitar tahun 1990an iaitu skema. Teori ini menyatakan bahawa seseorang hidup
dengan mengumpul seberapa banyak maklumat di dalam mindanya berlandaskan apa
sahaja pengalaman yang dihadapi dalam hidupnya ini.
TEORI MEMBACA
Proses “Bottom-up”

Sebagai contoh, dalam bahasa Melayu, huruf-huruf roman
ini disusun atur dalam satu sistem ejaan yang berstruktur sehingga dapat
mewakili bunyi-bunyi perkataan dalam bahasa ini. Dari kumpulan perkataan ini,
pembaca akan terus memperoleh makna daripada ayat yang terbentuk dari kumpulan
perkataan tersebut. Dari ayat terbina pula perenggan ini memberi maksud dalam
bentuk wacana kepada pembaca. Proses ini menjadi lengkap apabila pembaca
memperoleh maklumat yang lengkap dari bahan yang dibacanya.
Proses “Top-down”
Proses kedua ialah proses
top-down. Bagi melaksanakan proses ini pembaca tidak perlu mengenal pasti
setiap patah perkataan yang terdapat pada bahan bercetak secara terperinci.
Pembaca hanya perlu memahami bahan bacaannya secara keseluruhan terlebih
dahulu. Setelah faham maksud petikan secara keseluruhan barulah pembaca membuat
perincian maksud perenggan yang berbeza dan kemudiannya mencerakin ayat-ayat
yang terdapat pada setiap perenggan sekiranya perlu. Mendapatkan maklumat
secara menyeluruh adalah diutamakan dalam proses ini.

Proses membaca memerlukan hubungan yang penting di antara mata dan minda. Seperti yang kita ketahui, mata adalah elemen penting untuk kita melihat dan minda pula adalah pemikiran kita. Dalam proses membaca, mata akan digunakan untuk melihat dan seterusnya menghantar objek-objek yang dilihat ke dalam minda. Minda akan memproses maklumat tersebut dengan kadar yang segera dan secara tidak langsungnya minda dan mata akan bergerak aktif untuk menjayakan proses membaca. Minda yang aktif perlu memainkan peranan penting dalam proses membaca kerana tanpa minda yang aktif, kita tidak mampu untuk mencerna maklumat yang kita lihat dengan baik atau dalam erti kata lain buta huruf.


Semasa proses di awal belajar membaca, pembaca perlu
mengenal setiap huruf dan perkataan yang terdapat dalam teks bacaannya. Apa yang
paling penting adalah pembaca hanya perlu pandai untuk menyebut setiap
perkataan yang dibaca sahaja terlebih dahulu sebelum berpindah kepada pemahaman
terhadap bahan bacaan. Pembacaan secara berulang akan meningkatkan lagi mutu
bacaan mereka dan cara penyebutan perkataan juga turut tepat dan betul. Hal ini
penting bagi melahirkan mereka yang lancar dalam pembacaan dan akan memudahkan
mereka dalam memahami keseluruhan teks yang telah dibaca pula. Pembaca perlu
memulakan pembacaan dengan menyebut setiap satu suku kata perkataan dengan
tepat sebelum menyebut satu perkataan secara penuh. Sebagai contoh untuk
menyebut perkataan “saya” akan disebut satu suku kata satu suku kata iaitu “sa”
“ya” dan kemudian baru sebut penuh “saya”. Pembelajaran bacaan seperti ini akan
mudah memahirkan pembaca dalam membaca sesuatu teks. Belajar membaca adalah
secara berperingkat-peringkat barulah mudah lancar dalam pembacaan dan memahami
teks.
Belajar membaca seterusnya adalah cuba untuk memahami
teks yang dibaca. Setiap teks yang telah dibaca perlu difahami oleh setiap
pembaca agar apa yang dibaca mendapat hasil pada dirinya dan bukan sahaja
sia-sia iaitu membuat pembacaan tapi tidak mendapat apa-apa pengetahuan dalam
teks tersebut. Setiap ayat yang terdapat dalam teks perlu difahami secara
mendalam selepas selesai sesi mengenal huruf dan lancar dalam pembacaan.
Memahami apa yang dibaca merupakan sesuatu yang penting kerana dari pembacaan
dan faham apa yang terkandung di dalamnya akan membantu pembaca untuk mencari
isi-isi penting yang terdapat dalam teks dan dapat mentafsir maksud yang
tersirat dalam teks tersebut. Hal ini demikian kerana dalam setiap teks yang
kit abaca akan menggunakan bahasa kiasan yang memerlukan pemahaman kita untuk
memahami apa yang dimaksudkan dalam teks tersebut.
Seterusnya, belajar membaca teks juga adalah mengenal
dan mengecam lambang-lambang perkataan yang dilihat dalam teks dan membuat
perkaitan lambing yang ditunjukkan dengan bunyi atau makna yang tertentu.
Sebagai contoh dalam ayat yang dibuat dalam bentuk fonologi akan banyak
menggunakan lambang-lambang yang tertentu dan ini akan menyukarkan pembaca
untuk memahami maksud teks. Di sinilah amat penting untuk belajar membaca dalam
mengenal istilah-istilah yang khusus bagi lambang huruf fonologi. Mengenal
bunyi adalah satu cara belajar membaca secara lebih sistematik. Bacaan akan
menjadi lebih tepat dari segi sebutan bunyinya dan tidak akan keliru dengan
bunyi perkataan dengan perkataan lain. Hal ini penting kerana terdapat
perkataan yang mempunyai bunyi huruf yang sama dan melalui pembelajaran membaca
bunyi fonologi akan dapat membuatkan pembaca tahu untuk membezakan setiap bunyi
huruf tersebut.
Masalah
membaca yang berlaku dalam kalangan masyarakat atau kanak-kanak adalah berpunca
daripada faktor fizikal, faktor neurologikal, faktor keturunan, faktor emosi,
dan faktor luaran. Faktor fizikal yang mempengaruhi masalah membaca ialah
kecacatan yang tidak memampukan mereka membaca dengan baik. Penglihatan adalah
salah satu contoh faktor fizikal yang mempengaruhi masalah dalam membaca sama
ada mereka juling, rabun dekat, rabun jauh, astigmatism dan amblyopiks. Seperti
yang kita sedia maklum, masalah-masalah ini mempunyai kaitan di antara hubungan
mata dan sel otak. Sebagai contoh, mata yang juling akan menggunakan kedua-dua
biji matanya menuju ke arah yang sama dan hal ini akan mengakibatkan imej objek
yang dilihatnya tidak seimbang iaitu saiz dan bentuknya tidak sama. Sekiranya
kanak-kanak sukar untuk melakukan proses pada peringkat awal ini, maka mereka
akan mengalami masalah untuk meneruskan proses membaca pada peringkat yang
seterusnya.
Pendengaran juga merupakan salah
satu faktor fizikal yang mempengaruhi masalah membaca. Pelajar yang mempunyai
masalah pendengaran yang teruk akan menghadapi masalah untuk membezakan bunyi
vokal dan konsonan berbanding dengan pelajar yang mempunyai masalah pendengaran
yang ringan. Pelajar juga tidak akan dapat mengikuti apa yang dibaca oleh
gurunya akibat daripada masalah pendengaran yang dialami.
Faktor neurologikal pula adalah
berkaitan dengan sistem saraf manusia iaitu, saraf otak, tulang belakang, urat
dan sebagainya. Faktor neurologikal seperti kerosakan otak berpunca daripada
penyakit, kecederaan yang pernah dialami pada bahagian otak dan sebagainya akan
menyukarkan seseorang pelajar atau kanak-kanak untuk belajar membaca. Hal ini
kerana kemungkinan sistem saraf lambat bertindak dalam memberi tindak balas
kepada otak untuk diproses.
Selain itu, faktor keturunan juga
mempengaruhi masalah dalam membaca. Kajian mengatakan bahawa pelajar yang
berlatar belakangkan keluarga yang tidak tahu membaca akan mempunyai pencapaian
yang lebih rendah daripada pelajar yang berasal daripada keluarga yang pandai
membaca. Oleh yang demikian, pengaruh persekitaran juga mempengaruhi proses
membaca. Keluarga yang mengamalkan budaya membaca di rumah dan mempunyai bahan
bacaan yang mencukupi akan meningkatkan pencapaian anak-anak dalam pelajaran.
Ibu bapa adalah contoh yang terbaik bagi anak-anak untuk mengikuti jejak langkah
mereka.
Kegagalan dalam membaca akan
mengganggu emosi pelajar daripada terus
berusaha. Pelajar akan berasa rendah diri, terasing, kecewa dan
sebagainya apabila mereka mendapati bahawa mereka tidak setanding
rakan-rakannya yang lain. Hal ini akan menyebabkan mereka gagal untuk membaca
kerana tidak ada orang yang akan memberikan motivasi yang positif untuk terus
berusaha. Masalah emosi ini bukan sahaja akan menggagalkan mereka daripada
pandai membaca malah akan mengganggu pencapaian mereka dalam pembelajaran.
Faktor motivasi dari pihak tertentu
juga mempengaruhi keupayaan membaca. Kanak-kanak yang sering kali menerima
galakan untuk membaca akan lebih mudah dan cepat menguasai kemahiran membaca
berbanding dengan kanak-kanak yang tidak diberi galakan. Galakan dan dorongan
merupakan elemen yang sangat penting untuk membakar semangat pelajar agar terus
membaca. Seperti yang telah dilaksanakan di sekolah-sekolah seluruh Malaysia,
program nilam dapat membantu pelajar untuk menimba ilmu melalui pembacaan.
Pelajar yang paling banyak membaca buku akan diberikan anugerah atas pencapaian
yang dicapainya. Hal ini akan membakar semangat pelajar-pelajar lain untuk
mendapatkan imbalan yang setimpal dengan usaha mereka.
Pemilihan bahan bacaan
Tujuan pemilihan bacaan adalah sangat penting. Ia perlulah bersesuaian dengan peringkat umur. Hal ini disebabkan penggunaan kosa kata yang berlainan serta berbeza. Contohnya, buku-buku ilmiah menggunakan bahasa dan kosa kata dari aras yang tinggi. Hanya orang dewasa sahaja yang mampu memahaminya. Jika diberikan pada kanak- kanak ,sudah pasti mereka tidak dapat memahami teks tersebut. Terdapat dua jenis bahan bacaan iaitu bahan bacaan fiksyen dan bukan fiksyen. Bahan bacaan fiksyen ialah bahan yang biasanya dibaca pada waktu lapang dan digolongkan dalam bahan bacaan yang ringan. Sebaliknya, bahan bacaan bukan fiksyen pula ialah bahan bacaan ilmiah dan mengandungi pelbagai maklumat yang penting di samping penggunaan bahasa yang tinggi.
Jenis-jenis
bahan bacaan
1.
Bahan Bacaan Mekanis (Bersuara)

Membaca
mekanis merupakan satu keterampilan yang serba rumit dan kompleks yang menuntut
pengertian terhadap aksara di atas halaman kertas dan memproduksikan suara yang
tepat dan bermakna. Dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa, membaca mekanis
yang digunakan lebih tertumpu kepada usaha menganalisis pengucapan
(pronunciation) daripada pemahaman. Membaca mekanis adalah satu teknik yang
mampu memenuhi pelbagai ragam tujuan serta mengembangkan sejumlah keterampilan
serta minat. Untuk membolehkan penguasaan membaca nyaring atau membaca secara
mekanis ini, pembaca haruslah dapat terlebih dahulu menguasai keterampilan
persepsi yang melibatkan penglihatan dan daya tanggap yang membolehkan kita
mengenal, memahami kata-kata dengan cepat dan tepat.
Aspek lain yang sama pentingnya
adalah kemampuan mengelompokkan kata-kata dalam satu kesatuan fikiran serta
membacanya dengan baik dan lancar. Bacaan bersuara ialah bacaan mekanis yang
menyuarakan tulisan dengan sebutan yang jelas dan terang, dengan intonasi dan
irama mengikut gaya membaca yang betul dengan menggerakkan alat-alat
pertuturan.
2.
Bahan Bacaan Mentalis (Senyap)

Kedua-duanya
mempunyai ciri-ciri yang tersendiri. Oleh itu, bacaan senyap atau bacaan
akaliah ialah bacaan yang disuarakan dalam hati atau menukar isi bacaan kepada
maknanya tanpa mengeluarkan suara. Kelajuan bacaan senyap lebih pantas daripada
bacaan bersuara kerana beberapa perkara yang dilakukan dalam bacaan bersuara
seperti nada suara, sebutan yang jelas dan sebagainya tidak diperlukan dalam
bacaan senyap. Bacaan senyap ini dijalankan sesudah murid-murid mencapai
kemahiran dan kecekapan bacaan bersuara.
3.
Bahan Bacaan Intensif (Pantas dan Imbasan)
Bacaan
intensif ialah kegiatan membaca yang menuntut ketelitian dan dilakukan secara
saksama yang melibatkan telaah isi dan pandangan terperinci sesuatu bahan bacaan.
Dua perkara yang dilibatkan dengan bacaan insentif ini adalah membaca telaah
isi dan membaca telaah bahasa. Dalam telaah isi ini, membaca teliti, membaca
pemahaman, membaca kritis dan membaca idea adalah ditekankan. Bacaan intensif
adalah bacaan yang pada asasnya bertujuan memperkembangkan kebolehan dalam
meneliti, memahami dan mentafsir apa sahaja yang dibaca dengan tepat. Bacaan
tersebut juga memberi penekanan kepada kajian terhadap ciri-ciri tatabahasa,
meneliti pembentukan dan penggunaan perkataan, serta pemakaian bahasa itu dalam
konteks dan situasi yang berlainan.
Bacaan
intensif boleh juga boleh dibaca dengan pelbagai dua cara salah satunya ialah
membaca pantas. Bacaan pantas adalah satu bentuk kegiatan membaca yang
dilakukan dengan kadar kelajuan tertentu dan tujuannya adalah untuk menjimatkan
masa. Walau bagaimanapun, membaca yang terlalu laju tidak semestinya baik.
Sebaik-baiknya, kadar kelajuan membaca haruslah disesuaikan dengan apa yang
dibaca dan tujuan membaca ketika itu.
Membaca
yang dilakukan dalam keadaan yang terlalu pantas akan menyebabkan pembaca
kehilangan isi-isi penting yang diperlukan atau gagal menggarap keseluruhan
konsep yang cuba diketengahkan. Walau bagaimanapun, membaca yang terlalu
perlahan tidak pula menguntungkan kerana hanya akan membazirkan masa. Membaca
pantas hanya boleh berlaku melalui bacaan senyap atau membaca dalam.
Hal
ini demikian kerana dalam bacaan kuat atau bersuara, pembaca akan menurunkan
keupayaan membaca mereka pada kadar kelajuan bercakap. Sewaktu membaca kuat,
pembaca akan melibatkan pergerakan bibir dan lain-lain alat pengucapan manusia.
Selain daripada membaca pantas, kedua-duanya ialah bacaan imbasan yang juga
dikenali sebagai scanning adalah kegiatan membaca yang dilakukan secara
sepintas lalu. Hal ini disebut sebagai membaca tinjauan. Kebiasaannya, sebelum
kegiatan membaca itu dilakukan, pembaca akan meneliti terlebih dahulu
bahagian-bahagian buku atau apa sahaja yang harus ditelaah. Hal ini dilakukan
untuk mendapatkan maklumat awal dan gambaran keseluruhan tentang buku tersebut
sebelum ia menjadi pilihan untuk dibaca.
Membaca
sepintas lalu ini melibatkan pembaca memeriksa, meneliti indeks, melihat daftar
kata yang terdapat dalam buku tersebut. Kadang kala proses melihat-lihat,
memeriksa dan meneliti judul-judul bab juga dilakukan. Hal ini juga berlaku
pada skema, rangka kasar buku, bahagian bibliografi, kandungan prakata,
pendahuluan, sinopsis, abstrak dan sebagainya
4.
Bahan Bacaan Ekstensif
Membaca
ekstensif ialah kegiatan membaca secara luas. Objeknya meliputi sebanyak
mungkin teks dalam jangka waktu yang singkat. Tujuan atau tuntutan kegiatan
membaca ekstensif adalah untuk memahami isi yang penting-penting dengan cepat
dan ia menganjurkan aktiviti membaca yang berkesan. Membaca ekstensif biasanya
melibatkan perkara-perkara yang berikut:
a. Membaca tinjauan (survey reading)
Membaca
tinjauan (survey reading) dilakukan sebelum kita memulakan sesuatu bacaan.
Biasanya, kita akan meneliti apa yang akan kita telaah itu terlebih dahulu. Hal
ini mungkin melibatkan kita memeriksa, meneliti indeks dan daftar kata yang
terdapat dalam buku-buku tersebut atau mungkin kita akan melihat-lihat atau
meneliti judul, bab, rangka besar, kandungan dan sebagainya. Latar belakang
pengetahuan seseorang akan menentukan tepat atau tidaknya, cepat atau lambatnya
tinjauan dapat dilakukan
b.
Membaca sekilas (skimming)
Membaca
sekilas (skimming) adalah sejenis kegiatan membaca yang melibatkan mata
bergerak dengan cepat melihat, memperhatikan bahan-bahan bertulis untuk mencari
dan mendapatkan maklumat dan penerangan.
c.
Membaca dangkal (superticial reading)
Skimming
adalah satu bentuk kegiatan membaca yang dilakukan secara sekilas pandang.
Biasanya, melalui proses skimming, mata bergerak dengan cepat, melihat
memerhatikan bahan bertulis untuk mendapatkan maklumat atau penerangan dengan
serta-merta.
Bagaimana kanak-kanak belajar dalam konteks membaca?
.jpg)
Kaedah dan pendekatan belajar membaca.
Dalam
kaedah mengajar membaca khusus kepada murid di peringkat sekolah rendah dan pra
sekolah, banyak elemen atau pendekatan yang boleh diambil sebagai asbab
kelancaran murid-murid dalam aspek membaca. Antara pendekatan atau kaedah
berkenaan, iaitu:
1) Berkongsi
membaca


2)Membaca Lantang
Pilih
seorang pelajar untuk membaca lantang bahagian awal teks sementara pelajar lain
mengikut bacaan tersebut secara beramai-ramai bincang, bertindakbalas, dan
semak telahan. Apabila pelajar berhenti membaca lantang, ceritakan semula atau
bincangkan apa yang telah dibaca. Melalui pendekatan membaca lantang ini juga
dapat memudahkan para murid untuk belajar membaca, malah secara leterasinya.
Guru perlu mengenalpasti murid yang berpotensi untuk membaca lantang, disamping
murid-murid lain yang lemah dengar dan
mengikutinya.
3)
Kaedah Induktif dan Deduktif
Hasil
daripada pemerhatian yang dijalankan contoh pengajaran membaca yang menggunakan
pendekatan induktif adalah seperti berikut :
a. ba / ca bu / ku = baca
buku
b. sa / ya ki / ta = saya kita
Guru
akan menerangkan terlebih dahulu contoh yang sesuai kepada murid, sebagai
contoh guru akan mengeja perkataan di atas terlebih dahulu sebelum murid
mengikutinya. seterusnya pelajar akan dibimbing untuk mengeja perkataan yang
seterusnya. Pemberian contoh yang baik akan memudahkan proses pengajaran dan
pembelajaran membaca dijalankan.
Dalam pendekatan deduktif
pula, contoh yang didapati hasil daripada pemerhatian adalah seperti berikut :
a. me / re / ka ke / re / ta ke / ru / si
b. be / ri / ta al / ma / ri da / hu / lu
Pada
awalnya guru memperkenalkan perkataan yang mempunyai tiga suku kata. Kemudian
murid diminta menyebut satu persatu suku kata tersebut dengan bimbingan guru
sehinggalah murid benar-benar faham. Selepas itu, murid akan diperkenalkan
dengan perkataan yang mempunyai tiga suku kata yang berlainan sedikit seperti
ma / ka / nan, ca / ta / tan, dan him / pu / nan. Pelajar diminta membuat rumus
bagi mengkaji perbezaan yang terdapat dalam perkataan tersebut dengan perkataan
yang awal tadi.
4)
Pendekatan Abjad Dan Suku Kata
Pendekatan
ini menekankan pengenalan abjad dan suku kata kepada murid. Ia boleh
dilaksanakan melalui :-
b)
Huruf konsonan pula digabungkan dengan huruf vokal menjadikan suku kata
c)
Unit-unit kecil vokal juga digabungkan.
d)
Pelaksanaan latih tubi sehingga pelajar boleh mengikuti kemahiran yang diajar.
e)
Pengukuhan juga dilakukan melalui penulisan.
Kaedah
yang paling kerap digunakan ialah kaedah abjad. Kaedah ini disebut kaedah abjad
kerana pada permulaannya murid diperkenalkan dengan abjad. Dalam kajian yang
dijalankan sejumlah empat subjek menggunakan kaedah ini. Semasa proses pengajaran dijalankan nama
huruf-huruf tersebut disusun dan disebut serentak iaitu daripada A hingga Z.
Setelah murid mengenal abjad dan menghafalnya baharulah guru akan mengajar
mereka mengeja perkataan-perkataan yang pendek. Misalnya perkataan ibu, bapa,
bola dan tiga. Semasa pelajar diajar mengeja, mereka hendaklah disuruh menyebut
perkataan tersebut serentak. Misalnya b-a-j-u (baju).
5)Kaedah
Fonik
Kaedah fonik merupakan kaedah mengajar membaca dengan melatih murid-murid menghubungkaitkan bunyi-bunyi tertentu dengan lambang-lambang tertentu (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010:414). Jelaslah bahawa kaedah fonik ini merupakan kaedah pengajaran membaca yang lebih menekankan terhadap proses membunyikan huruf-huruf yang hadir dalam teks bacaan. Hal ini kerana kebiasaannya pada peringkat awal, kanak-kanak menghadapi kesukaran untuk memahami perkataan-perkataan yang mempunyai suku kata yang panjang dan banyak. Hal ini telah menyebabkan mereka gagal untuk memahami makna perkataan tersebut. Oleh sebab itu, sebagai langkah awal, kanak-kanak perlu diajar untuk menyebut huruf-huruf yang hadir dalam perkataan kerana dengan cara ini mereka akan mencuba untuk menyebut bunyi huruf-huruf tersebut dengan sebutan yang betul sekali gus mereka akan melatih diri mereka untuk mengeja suku kata perkataan tersebut.
Selain itu, menurut Naffi Mat (2006:87),
kaedah fonik ini amat bersesuaian dengan pelajar KBSR. Hal ini kerana
pendekatan ini lebih mementingkan kaedah bunyi fonem yang merupakan hasil
gabungan antara suku kata dan kaedah pandang sebut. Sebagai contohnya, jika
guru menunjukkan huruf “m” sambil menyebutnya, murid-murid akan mengikut bunyi
yang disebut oleh guru sehingga mereka dapat mengingati huruf berserta bunyi
bagi huruf tersebut. Kemudian guru akan menggabungkan huruf konsonan dengan
huruf vokal bagi membentuk suku kata seperti “m” + “a” = “ma”. Jika proses
pengajaran berjalan dengan lancar, guru boleh melanjutkan pembelajaran dengan
membentuk satu suku kata tertutup yang lain”, iaitu “mak”. Guru boleh
menggabungkan kedua-dua suku kata tersebut untuk membentuk perkataan “mamak’
dan guru boleh meminta murid-murid untuk membaca perkataan “mamak” secara
berulang kali sehingga murid-murid mahir dan menguasai makna perkataan
tersebut.

Kaedah
suku kata juga diterapkan semasa pengajaran dan pembelajaran membaca awal
dijalankan. Sejumlah dua subjek yang menggunakan kaedah ini. Daripada
pemerhatian dan temu bual, kaedah suku kata dimulakan dengan mencantumkan satu
huruf konsonan dan vokal. Misalnya ka-ki-ku, pa-pi-pu, dan ra-ri-ru. Seterusnya
murid diajar membaca perkataan-perkataan yang mudah dengan cara mencantumkan
suku-suku kata yang telah diajar tadi. Contohnya kaki, para, dan pari.
6)Kaedah
pandang sebut
Pendekatan
ini merupakan kaedah yang dimulakan dengan mendedahkan murid kepada
perkataan-perkataan. Kaedah ini berbeza dengan pendekatan kaedah fonik yang
lebih mementingkan pembelajaran huruf (fonem) atau suku kata kepada murid
terlebih dahulu. Proses pengajaran dengan menggunakan kaedah ini boleh
dimulakan dengan aktiviti memandang dan menyebut beberapa perkataan. Guru boleh
menggunakan alat bantu mengajar (ABM) dengan menyediakan beberapa keping gambar
yang melambangkan perkataan-perkataan yang disebut. Oleh itu, murid boleh
melihat gambar yang ditunjukkan oleh guru dan mereka perlu menyebut
perkataan-perkataan yang mewakili gambar-gambar tersebut dengan tepat.
Selain itu, kaedah ini berfungsi
dengan murid perlu mengecam dan mengenal pasti keseluruhan perkataan. Setelah
pelajar berjaya mengecam perkataan tersebut, murid tidak mengeja atau
membunyikan suku kata perkataan tersebut, tetapi murid perlu menyebut perkataan
tersebut. Dengan erti kata lain, dalam
konteks ayat pendek dan mudah, murid-murid tidak mengeja satu persatu
perkataan yang terdapat dalam binaan ayat tersebut, tetapi murid-murid akan
terus menyebut ayat tersebut setelah mereka mampu mengecam ayat tersebut.
Kaedah ini memerlukan latih tubi yang berterusan kerana tahap murid-murid yang
mampu untuk menguasai kemahiran membaca
terus adalah berbeza-beza. Hal ini kerana kebiasaannya pada peringkat awal,
kanak-kanak sukar untuk menyebut perkataan-perkataan atau rangkai kata tanpa
perlu mengeja terlebih dahulu.
Dalam pengajaran dan pembelajaran membaca
mengikut kaedah ini, guru akan menggunakan kad bagi memperlihatkan sesuatu
perkataan. Guru pula akan menyebut perkataan tersebut dan murid akan
mengikutnya secara beramai-ramai dengan cara mengenal bentuk dan lambang
perkataan. Misalnya perkataan bola, abang, adik dan limau. Setelah murid
mengenali beberapa perkataan asas. Guru akan mengajar murid membaca ayat-ayat
yang mudah dibina berdasarkan perkataan-perkataan asas yang sudah dikenali oleh
murid. Bermaksud murid telah disediakan beberapa perkataan yang khusus, yang
murid hanya perlu membina beberapa satu berdasarkan dengan perkataan yang
diberi.
Contoh
:
1. Abang ada bola.
2. Adik ada bola.
3. Abang dan adik ada bola.
Selain
itu, daripada pemerhatian yang dijalankan guru kadangkala menggunakan buku teks
yang disediakan sebagai bahan bantu untuk mengajar kaedah pandang sebut.
7)Kaedah
Multisensory ( sentuh, pandang dan dengar)
Rangsangan
yang diberikan kepada pelbagai deria yang ada (sentuh, pandang, dan dengar)
akan meningkatkan dan mempercepatkan pemahaman anak-anak kepada asas-asas
kemahiran membaca. Untuk menguasai kemahiran membaca dengan baik seseorang
kanak-kanak itu sekurang-kurangnya perlu dirangsang deria pandang dan deria
dengarnya. Ini kerana melalui deria pandang anak-anak akan kita perkenalkan
dengan bentuk-bentuk huruf sementara deria dengar pula memberikan maklumat
bunyi (fonik) huruf yang dilihatnya. Dalam banyak kes membenarkan anak-anak
merasa atau menyentuh bentuk-bentuk huruf (melalui keratan huruf atau huruf
yang dibentuk menggunakan tanah liat contohnya) akan memperkukuhkan lagi apa
yang dilihat dan didengarinya.
8)Membacakan
Carta Dan Buku Kepada Kanak-Kanak

Pentaksiran
Pentaksiran
merupakan satu proses mendapatkan maklumat seterusnya membuat penghakiman dan
pertimbangan tentang produk sesuatu pendidik. Dalam konteks pendidikan pula,
pentaksiran adalah satu proses yang merangkumi aktiviti menghurai, mengumpul,
merekod, memberi skor dan menginterpretasikan maklumat. Dalam masa sama,
terdapat beberapa aspek utama dalam pentaksiran:-
a) Instrumen
b) Kumpulan sasar
c) Respon
d) Kumpulan yang penaksir, dan
e) Skor.
Pentaksiran juga ditakrifkan sebagai sebuah kaedah
untuk menentukan tahap sesuatu antribut ataupun ciri yang diperoleh oleh
seseorang pelajar setelah melalui proses pengajaran dan pembelajaran (P &
P). Selain itu, proses pentaksiran ini mempergunakan bukti empirikal yang sahih
bagi mengakuantifikasikan ketepatan antribut/ciri penguasaan pelajar. Dalam
pada itu, pentaksiran ini dapat dibahagikan kepada empat kategori, iaitu
pentaksiran sumatif, pentaksiran formatif, pentaksiran berasaskan prestasi dan
pentaksiran internal dan external. Hal ini dapat dilihat empat kategori
sepertimana yang berikut:-
a) Pentaksiran Sumatif – (Ia dilakukan di akhir
pembelajaran)
ü Berfungsi
sebagai penentu ketika melakukan pemberian gred kursus.
b) Pentaksiran Formatif – (berlaku sepanjang sesuatu
kursus)
ü Dalam
pengajaran dan pembelajaran (P & P) pentaksiran formatif melibatkan guru
atau murid serta memberi maklum balas terhadap kerja murid.
ü Fokus
dalam pentaksiran ini pemberian gred serta membandingkan pencapaian pelajar.
c) Pentaksiran Berasaskan Prestasi Sumatif
ü Pentaksiran
ini melihat kepada kesempurnaan tugasan yang telah diberikan kepada murid,
iaitu mencipta pengakhiran sesuatu dengan mengaplikasikan pengetahuan dan
kemahiran dalam dunia sebenar. Prestasi murid diukur daripada produk yang
dihasilkan.
d)
Pentaksiran Internal dan External
ü Pentaksiran
Internal ditentukan dan disemak oleh guru, iaitu murid memperoleh markah dan
maklum balas daripada pentaksiran yang dilakukan.
ü Pentaksiran
External pula ditentukan oleh sebuah badan seperti Majlis Peperiksaan Malaysia.
Kertas pentaksiran disemak oleh pakar dari luar dan markah pentaksiran sahaja
akan dimaklumkan kepada murid, namun kelemahan mereka tidak dimaklumkan.
Pentaksiran membaca merupakan penilaian kemahiran membaca
yang penting kepada guru untuk mengetahui tahap pembelajaran pelajar. Penilaian
ini melibatkan pelbagai bentuk penilaian dan jenis pengujian. Oleh yang
demikian, kemahiran membaca merupakan satu keupayaan para pelajar untuk membaca
ayat dengan lancar serta sebutan intonasi dan jeda yang betul. Dalam masa yang
sama , penekanan perlu diberikan dalam aspek kefahaman dan penaakulan pelbagai
bahan secara berkesan dengan menggunakan pelbagai teknik membaca contohnya
SQ3R, KWL dan sebagainya.
Terdapat ciri-ciri dalam penilaian membaca, iaitu
penilaian menjelaskan kemajuan pembelajaran seorang murid, penilaian proses
yang berterusan, penilaian menghendaki sampel kerja pelajar yang mencukupi,
bukannya setakat prestasi dan pengetahuan di peringkat pembelajaran malah pasca
pembelajaran, perubahan tingkah laku murid-murid, penilaian murid itu sendiri dan
penilaian ini bersifat terbuka dan tiada batasan. Sementara itu, para psikolinguistik
mengkategorikan matlamat membaca dalam tiga kategori utama bagi tujuan
penilaian, yakni dalam matlamat persepsi, kognitif, dan matlamat afektif.
Seterusnya, proses penilaian ataupun pentaksiran
membaca dibahagikan kepada tiga, iaitu yang pertama mengenal pasti idea
keseluruhan, kedua mengenal idea utama dan sokongan, dan ketiga membuat ramalan
dan kesimpulan. Secara kesimpulannya, pentaksiran amat penting dalam memberi
skop penilaian dalam pembelajaran dan pembelajaran (P & P) oleh guru dalam
mengenal pasti kekurangan dan kelebihan pelajar dalam menilai kemahiran
membaca.
Secara keseluruhannya, pentaksiran yang merangkumi
skop yang lebih besar yakni Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Pentaksiran
Berasaskan Sekolah (PBS) merupakan satu perubahan baharu dalam sistem
pendidikan negara, yang diperkenalkan dalam Sistem Pentaksiran Pendidikan
Kebangsaan (SPPK). PBS merupakan
satu pentaksiran yang bersifat holistik yang mampu menilai aspek kognitif
(intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan
Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah
(KSSR) dan Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM). PBS dioptimumkan untuk
mentaksir bidang akademik dan bukan akademik.
Selain itu,
PBS memberikan pengiktirafan atau autonomi kepada guru dalam melaksanakan
pentaksiran formatif dan sumatif. Dalam pada itu, PBS mempunyai komponen dalam
sistem penaksiran kebangsaan merangkumi Pentaksiran Sekolah, Pentaksiran Pusat,
Pentaksiran aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum dan Pentaksiran
psikometrik. Terdapat objektif utama dalam PBS, iaitu mendapatkan gambaran
secara keseluruhan tentang potensi individu, memantau pertumbuhan dan membantu
meningkatkan potensi individu, dan membuat pelaporan bermakna tentang
pembelajaran individu.
Subscribe to:
Posts (Atom)