widgets

Monday, May 12, 2014

DEFINISI MEMBACA

Membaca merupakan satu kemahiran yang perlu dikuasai oleh semua golongan dalam kehidupan masa kini. Seseorang yang tidak tahu membaca dianggap sebagai seorang yang tidak berfungsi dalam banyak bidang kehidupan masa kini. Sememangnya, seseorang yang tidak tahu membaca akan mengalami kesusahan dalam menguruskan kehidupannya. Sebagai contoh, mereka tidak dapat bergerak dengan bebas apabila tidak tahu membaca kerana pelbagai tanda arah dan jalan yang perlu dilalui yang telah disediakan untuk kepentingan orang ramai. Bayangkanlah apabila berada di negara asing, sudah tentu, tanda-tanda arah ini amat penting untuk kita.
          
  Haris dan Sipay (1980) dalam memberikan definisi membaca menegaskan keperluan seseorang itu perlu mahir atau dapat membaca lambang-lambang bercetak bagi memberikan makna terhadap lambang yang dibacanya. Definisi yang banyak digunakan bagi mengukur keupayaan seseorang, sama ada dia “celik huruf” atau “buta huruf.” Seseorang yang dapat membaca menurut definisi Haris dan Sipay ini ialah orang yang dapat membezakan antara lambang yang bertulis dalam sesuatu bentuk tulisan tertentu dan lambang yang bukan bertulis, iaitu dalam bentuk lukisan bagi mengungkap sesuatu objek atau konsep tertentu.
            Definisi yang diberikan oleh Smith dan Johnson (1980) pula berkait dengan proses membaca sebagai satu proses komunikasi antara pembaca dengan penulis. Membaca menurut mereka ialah proses memahami apa yang dimaksudkan oleh penulis menerusi bahan yang dihasilkannya dalam bentuk paparan bertulis. Keupayaan membaca ialah keupayaan membuat tanggapan terhadap apa yang ingin dimaksudkan oleh penulis. Definisi ini ialah sepadan dengan definisi yang dikemukakan oleh Safiah Othman (1991), iaitu dari selagi seseorang tidak memahami apa yang dibaca maka dia belum lagi membaca. Definisi ini bermaksud pemberian makna terhadap bahan yang dibaca adalah penting bagi mengatakan bahawa seseorang itu berkeupayaan membaca atau mempunyai kemahiran membaca. Selagi beliau mempunyai masalah dalam proses memberi makna, maka selagi itulah beliau belum membaca.
            Definisi yang diungkapkan oleh Goodman (1973) pula terdapat sedikit kelainan daripada definisi yang diberikan oleh ketiga-tiga kumpulan tokoh di atas. Goodman telah membuat kajian tentang kebolehbacaan, iaitu bagi merungkaikan persoalan sejauh manakah sesuatu bahan tersebut dapat dibaca oleh seseorang pelajar. Goodman pernah menyatakan bahawa membaca adalah salah satu permainan teka-teki. Hal ini bermaksud, pembaca seolah-olah berteka-teki dengan bahan bercetak yang dibacanya. 
            Maksudnya di sini ialah pembaca semestinya mengetahui ungkapan kata-kata yang terdapat pada bahan yang dibacanya, tetapi beliau membuat tekaan terhadap sesuatu perkataan itu berdasarkan maksud yang paling hampir dengan perkataan yang beliau tidak pasti. Sebagai contoh, pembaca akan meneka perkataan “house” yang terdapat dalam bahan bacaan kepada perkataan “horse” yang selalu ditemuinya dalam bahan bacaan yang lain. Pembaca akan terus melakukan proses meneka ini, kemudian membetulkan sekiranya masih dapat keraguan makna dan menukarkannya kepada perkataan lain yang diyakininya lebih tepat. Begitulah proses berteka-teki ini akan berlaku sehinggalah pembaca tersebut benar-benar mahir dalam kemahiran meneka perkataan yang tepat ini.
            Terakhir ialah definisi yang dikemukakan oleh Mahzan (2003) yang menegaskan bahawa membaca ialah proses membina jambatan antara apa yang terdapat di minda penulis dengan apa yang terdapat di dalam minda pembaca. Definisi ini dikemukakan berdasarkan satu teori bacaan yang amat berpengaruh sekitar tahun 1990an iaitu skema. Teori ini menyatakan bahawa seseorang hidup dengan mengumpul seberapa banyak maklumat di dalam mindanya berlandaskan apa sahaja pengalaman yang dihadapi dalam hidupnya ini.


TEORI MEMBACA


Proses “Bottom-up”
Proses membaca boleh dikaitkan dengan proses memperoleh maklumat dan manfaat dari bahan yang dibaca. Terdapat dua cara proses ini boleh berlaku, iaitu pertama dengan  terlebih dahulu mengenal pasti huruf-huruf yang terdapat di permukaan bertulis, sama ada huruf dalam bentuk ortografi yang paling banyak digunakan oleh pelbagai bahasa di dunia masa kini seperti bentuk huruf roman (tulisan rumi) dan bentuk huruf Arab (tulisan jawi). Huruf-huruf ini kemudiannya digabungkan dalam satu sistem yang digunakan dalam sesuatu bahasa.
            Sebagai contoh, dalam bahasa Melayu, huruf-huruf roman ini disusun atur dalam satu sistem ejaan yang berstruktur sehingga dapat mewakili bunyi-bunyi perkataan dalam bahasa ini. Dari kumpulan perkataan ini, pembaca akan terus memperoleh makna daripada ayat yang terbentuk dari kumpulan perkataan tersebut. Dari ayat terbina pula perenggan ini memberi maksud dalam bentuk wacana kepada pembaca. Proses ini menjadi lengkap apabila pembaca memperoleh maklumat yang lengkap dari bahan yang dibacanya. 


Proses “Top-down”
            Proses kedua ialah proses top-down. Bagi melaksanakan proses ini pembaca tidak perlu mengenal pasti setiap patah perkataan yang terdapat pada bahan bercetak secara terperinci. Pembaca hanya perlu memahami bahan bacaannya secara keseluruhan terlebih dahulu. Setelah faham maksud petikan secara keseluruhan barulah pembaca membuat perincian maksud perenggan yang berbeza dan kemudiannya mencerakin ayat-ayat yang terdapat pada setiap perenggan sekiranya perlu. Mendapatkan maklumat secara menyeluruh adalah diutamakan dalam proses ini.

            Kaitan model top down ini dengan proses pengajaran dan pembelajaran adalah berasaskan Teori Pembelajaran Linguistik. Teori ini menegaskan bahawa makna tidak terdapat pada teks, tetapi terdapat dalam diri pembaca. Maksud petikan secara keseluruhan adalah lebih utama daripada individu perkataan yang dipaparkan dalam bahan bacaan.  Membaca melibatkan kiu bahasa iaitu grafonik, sintaksis dan semantik. Teori ini juga berpendapat bunyi atau fonik setiap patah perkataan tidak perlu tidak perlu dikuasai secara terperinci kerana membaca adalah satu proses membina makna dan bukan sebutan semata-mata.

BELAJAR MEMBACA


Proses membaca memerlukan hubungan yang penting di antara mata dan minda. Seperti yang kita ketahui, mata adalah elemen penting untuk kita melihat dan minda pula adalah pemikiran kita. Dalam proses membaca, mata akan digunakan untuk melihat dan seterusnya menghantar objek-objek yang dilihat ke dalam minda. Minda akan memproses maklumat tersebut dengan kadar yang segera dan secara tidak langsungnya minda dan mata akan bergerak aktif untuk menjayakan proses membaca. Minda yang aktif perlu memainkan peranan penting dalam proses membaca kerana tanpa minda yang aktif, kita tidak mampu untuk mencerna maklumat yang kita lihat dengan baik atau dalam erti kata lain buta huruf.
            Kanak-kanak yang baru belajar membaca perlu untuk mengenal huruf iaitu simbol untuk memudahkan mereka membentuk suku kata. Sekiranya mereka tidak dapat mengenal atau menghafal abjad, mereka tidak akan berjaya memecahkan setiap perkataan tersebut kepada suku kata dalam proses belajar membaca. Kanak-kanak yang mengenal huruf akan menerima kod-kod yang ditulis oleh penulis dan memecahkan kod tersebut kepada bentuk bahasa yang difahami. Proses pemecahan kod ini dikenal sebagai mendekod dan ia merupakan langkah pertama untuk memahami maklumat yang disampaikan oleh penulis. Sekiranya proses memecahkan kod ini gagal dilaksanakan, maka aktiviti membaca juga akan terhenti begitu sahaja.
            Setelah proses mendekod dilaksanakan, kanak-kanak akan belajar untuk memahami apa yang mahu disampaikan oleh penulis. Pemahaman dalam proses belajar membaca sangat penting kerana ia akan mengaktifkan minda kita untuk berfikir. Belajar merupakan suatu perubahan tingkah laku yang dilakukan dalam mencapai satu tujuan yang tertentu. Mengikut pendapat seorang tokoh iaitu Marohaini Yusoff (1989), merumuskan bahawa proses belajar membaca ini sebagai satu perlakuan yang kompleks dan sukar untuk diperhatikan. Terdapat dua asas kemahiran yang utama dalam belajar membaca ini iaitu kemahiran untuk mengenal huruf, mengenal perkataan dan juga kemahiran dalam memahami apa yang mereka baca. Bagi perlakuan dalam belajar membaca menekankan kepada kemahiran mengenal atau mengecam perkataan dan kemahiran dalam memahami apa yang telah dibaca. Pada awal pembelajaran untuk membaca, pembaca akan didedahkan dengan kemahiran mengenal dan mengecam setiap perkataan yang dibaca dan kemudian barulah mereka akan cuba untuk memahami apa yang mereka baca.
Semasa proses di awal belajar membaca, pembaca perlu mengenal setiap huruf dan perkataan yang terdapat dalam teks bacaannya. Apa yang paling penting adalah pembaca hanya perlu pandai untuk menyebut setiap perkataan yang dibaca sahaja terlebih dahulu sebelum berpindah kepada pemahaman terhadap bahan bacaan. Pembacaan secara berulang akan meningkatkan lagi mutu bacaan mereka dan cara penyebutan perkataan juga turut tepat dan betul. Hal ini penting bagi melahirkan mereka yang lancar dalam pembacaan dan akan memudahkan mereka dalam memahami keseluruhan teks yang telah dibaca pula. Pembaca perlu memulakan pembacaan dengan menyebut setiap satu suku kata perkataan dengan tepat sebelum menyebut satu perkataan secara penuh. Sebagai contoh untuk menyebut perkataan “saya” akan disebut satu suku kata satu suku kata iaitu “sa” “ya” dan kemudian baru sebut penuh “saya”. Pembelajaran bacaan seperti ini akan mudah memahirkan pembaca dalam membaca sesuatu teks. Belajar membaca adalah secara berperingkat-peringkat barulah mudah lancar dalam pembacaan dan memahami teks.
Belajar membaca seterusnya adalah cuba untuk memahami teks yang dibaca. Setiap teks yang telah dibaca perlu difahami oleh setiap pembaca agar apa yang dibaca mendapat hasil pada dirinya dan bukan sahaja sia-sia iaitu membuat pembacaan tapi tidak mendapat apa-apa pengetahuan dalam teks tersebut. Setiap ayat yang terdapat dalam teks perlu difahami secara mendalam selepas selesai sesi mengenal huruf dan lancar dalam pembacaan. Memahami apa yang dibaca merupakan sesuatu yang penting kerana dari pembacaan dan faham apa yang terkandung di dalamnya akan membantu pembaca untuk mencari isi-isi penting yang terdapat dalam teks dan dapat mentafsir maksud yang tersirat dalam teks tersebut. Hal ini demikian kerana dalam setiap teks yang kit abaca akan menggunakan bahasa kiasan yang memerlukan pemahaman kita untuk memahami apa yang dimaksudkan dalam teks tersebut.
Seterusnya, belajar membaca teks juga adalah mengenal dan mengecam lambang-lambang perkataan yang dilihat dalam teks dan membuat perkaitan lambing yang ditunjukkan dengan bunyi atau makna yang tertentu. Sebagai contoh dalam ayat yang dibuat dalam bentuk fonologi akan banyak menggunakan lambang-lambang yang tertentu dan ini akan menyukarkan pembaca untuk memahami maksud teks. Di sinilah amat penting untuk belajar membaca dalam mengenal istilah-istilah yang khusus bagi lambang huruf fonologi. Mengenal bunyi adalah satu cara belajar membaca secara lebih sistematik. Bacaan akan menjadi lebih tepat dari segi sebutan bunyinya dan tidak akan keliru dengan bunyi perkataan dengan perkataan lain. Hal ini penting kerana terdapat perkataan yang mempunyai bunyi huruf yang sama dan melalui pembelajaran membaca bunyi fonologi akan dapat membuatkan pembaca tahu untuk membezakan setiap bunyi huruf tersebut.   

MASALAH MEMBACA


Masalah membaca yang berlaku dalam kalangan masyarakat atau kanak-kanak adalah berpunca daripada faktor fizikal, faktor neurologikal, faktor keturunan, faktor emosi, dan faktor luaran. Faktor fizikal yang mempengaruhi masalah membaca ialah kecacatan yang tidak memampukan mereka membaca dengan baik. Penglihatan adalah salah satu contoh faktor fizikal yang mempengaruhi masalah dalam membaca sama ada mereka juling, rabun dekat, rabun jauh, astigmatism dan amblyopiks. Seperti yang kita sedia maklum, masalah-masalah ini mempunyai kaitan di antara hubungan mata dan sel otak. Sebagai contoh, mata yang juling akan menggunakan kedua-dua biji matanya menuju ke arah yang sama dan hal ini akan mengakibatkan imej objek yang dilihatnya tidak seimbang iaitu saiz dan bentuknya tidak sama. Sekiranya kanak-kanak sukar untuk melakukan proses pada peringkat awal ini, maka mereka akan mengalami masalah untuk meneruskan proses membaca pada peringkat yang seterusnya.
            Pendengaran juga merupakan salah satu faktor fizikal yang mempengaruhi masalah membaca. Pelajar yang mempunyai masalah pendengaran yang teruk akan menghadapi masalah untuk membezakan bunyi vokal dan konsonan berbanding dengan pelajar yang mempunyai masalah pendengaran yang ringan. Pelajar juga tidak akan dapat mengikuti apa yang dibaca oleh gurunya akibat daripada masalah pendengaran yang dialami.
            Faktor neurologikal pula adalah berkaitan dengan sistem saraf manusia iaitu, saraf otak, tulang belakang, urat dan sebagainya. Faktor neurologikal seperti kerosakan otak berpunca daripada penyakit, kecederaan yang pernah dialami pada bahagian otak dan sebagainya akan menyukarkan seseorang pelajar atau kanak-kanak untuk belajar membaca. Hal ini kerana kemungkinan sistem saraf lambat bertindak dalam memberi tindak balas kepada otak untuk diproses.
            Selain itu, faktor keturunan juga mempengaruhi masalah dalam membaca. Kajian mengatakan bahawa pelajar yang berlatar belakangkan keluarga yang tidak tahu membaca akan mempunyai pencapaian yang lebih rendah daripada pelajar yang berasal daripada keluarga yang pandai membaca. Oleh yang demikian, pengaruh persekitaran juga mempengaruhi proses membaca. Keluarga yang mengamalkan budaya membaca di rumah dan mempunyai bahan bacaan yang mencukupi akan meningkatkan pencapaian anak-anak dalam pelajaran. Ibu bapa adalah contoh yang terbaik bagi anak-anak untuk mengikuti jejak langkah mereka.
            Kegagalan dalam membaca akan mengganggu emosi pelajar daripada terus  berusaha. Pelajar akan berasa rendah diri, terasing, kecewa dan sebagainya apabila mereka mendapati bahawa mereka tidak setanding rakan-rakannya yang lain. Hal ini akan menyebabkan mereka gagal untuk membaca kerana tidak ada orang yang akan memberikan motivasi yang positif untuk terus berusaha. Masalah emosi ini bukan sahaja akan menggagalkan mereka daripada pandai membaca malah akan mengganggu pencapaian mereka dalam pembelajaran.

            Faktor motivasi dari pihak tertentu juga mempengaruhi keupayaan membaca. Kanak-kanak yang sering kali menerima galakan untuk membaca akan lebih mudah dan cepat menguasai kemahiran membaca berbanding dengan kanak-kanak yang tidak diberi galakan. Galakan dan dorongan merupakan elemen yang sangat penting untuk membakar semangat pelajar agar terus membaca. Seperti yang telah dilaksanakan di sekolah-sekolah seluruh Malaysia, program nilam dapat membantu pelajar untuk menimba ilmu melalui pembacaan. Pelajar yang paling banyak membaca buku akan diberikan anugerah atas pencapaian yang dicapainya. Hal ini akan membakar semangat pelajar-pelajar lain untuk mendapatkan imbalan yang setimpal dengan usaha mereka.

Pemilihan bahan bacaan

Tujuan pemilihan bacaan adalah sangat penting. Ia perlulah bersesuaian dengan peringkat umur. Hal ini disebabkan penggunaan kosa kata yang berlainan serta berbeza. Contohnya, buku-buku ilmiah menggunakan bahasa dan kosa kata dari aras yang tinggi. Hanya orang dewasa sahaja yang mampu memahaminya. Jika diberikan pada kanak- kanak ,sudah pasti mereka tidak dapat memahami teks tersebut. Terdapat dua jenis bahan bacaan iaitu bahan bacaan fiksyen dan bukan fiksyen. Bahan bacaan fiksyen ialah bahan yang biasanya dibaca pada waktu lapang dan digolongkan dalam bahan bacaan yang ringan. Sebaliknya, bahan bacaan bukan fiksyen pula ialah bahan bacaan ilmiah dan mengandungi pelbagai maklumat yang penting di samping penggunaan bahasa yang tinggi.
                                                                                                  
Jenis-jenis bahan bacaan
1. Bahan Bacaan Mekanis (Bersuara)
Membaca bersuara sering juga menggunakan nama-nama yang berbeza seperti membaca mekanis, membaca oral, membaca ulat dan membaca nyaring. Walau apa pun nama yang digunakan, membaca mekanis ini merupakan satu aktiviti membaca yang disuarakan dengan jelas untuk menangkap dan memahamkan informasi, fikiran dan perasaan seseorang pengarang. Orang yang membaca harus mempunyai kemampuan untuk memaknakan apa sahaja yang tersirat dalam bahan-bahan yang dibaca. Lazimnya, ia harus memiliki kecepatan mata yang tinggi serta pandangan mata yang jauh. Ia juga harus boleh mengelompokkan kata-kata dengan baik dan cepat agar jelas maknanya bagi para pendengar.
Membaca mekanis merupakan satu keterampilan yang serba rumit dan kompleks yang menuntut pengertian terhadap aksara di atas halaman kertas dan memproduksikan suara yang tepat dan bermakna. Dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa, membaca mekanis yang digunakan lebih tertumpu kepada usaha menganalisis pengucapan (pronunciation) daripada pemahaman. Membaca mekanis adalah satu teknik yang mampu memenuhi pelbagai ragam tujuan serta mengembangkan sejumlah keterampilan serta minat. Untuk membolehkan penguasaan membaca nyaring atau membaca secara mekanis ini, pembaca haruslah dapat terlebih dahulu menguasai keterampilan persepsi yang melibatkan penglihatan dan daya tanggap yang membolehkan kita mengenal, memahami kata-kata dengan cepat dan tepat.
            Aspek lain yang sama pentingnya adalah kemampuan mengelompokkan kata-kata dalam satu kesatuan fikiran serta membacanya dengan baik dan lancar. Bacaan bersuara ialah bacaan mekanis yang menyuarakan tulisan dengan sebutan yang jelas dan terang, dengan intonasi dan irama mengikut gaya membaca yang betul dengan menggerakkan alat-alat pertuturan.

2. Bahan Bacaan Mentalis (Senyap)
Membaca senyap atau membaca dalam hati (silent reading) ialah kegiatan membaca yang melibatkan ingatan visual (visual memory) dan pengaktifan mata dan ingatan. Tujuan utama membaca jenis ini adalah untuk memperoleh informasi dan pemahaman. Dibandingkan dengan membaca nyaring, membaca dalam hati atau membaca senyap adalah lebih ekonomis, dan dapat dilakukan di mana-mana sahaja. Biasanya, membaca dalam hati atau senyap ini melibatkan dua jenis bacaan, iaitu membaca insentif dan membaca ekstensif.
Kedua-duanya mempunyai ciri-ciri yang tersendiri. Oleh itu, bacaan senyap atau bacaan akaliah ialah bacaan yang disuarakan dalam hati atau menukar isi bacaan kepada maknanya tanpa mengeluarkan suara. Kelajuan bacaan senyap lebih pantas daripada bacaan bersuara kerana beberapa perkara yang dilakukan dalam bacaan bersuara seperti nada suara, sebutan yang jelas dan sebagainya tidak diperlukan dalam bacaan senyap. Bacaan senyap ini dijalankan sesudah murid-murid mencapai kemahiran dan kecekapan bacaan bersuara.

3. Bahan Bacaan Intensif (Pantas dan Imbasan)
Bacaan intensif ialah kegiatan membaca yang menuntut ketelitian dan dilakukan secara saksama yang melibatkan telaah isi dan pandangan terperinci sesuatu bahan bacaan. Dua perkara yang dilibatkan dengan bacaan insentif ini adalah membaca telaah isi dan membaca telaah bahasa. Dalam telaah isi ini, membaca teliti, membaca pemahaman, membaca kritis dan membaca idea adalah ditekankan. Bacaan intensif adalah bacaan yang pada asasnya bertujuan memperkembangkan kebolehan dalam meneliti, memahami dan mentafsir apa sahaja yang dibaca dengan tepat. Bacaan tersebut juga memberi penekanan kepada kajian terhadap ciri-ciri tatabahasa, meneliti pembentukan dan penggunaan perkataan, serta pemakaian bahasa itu dalam konteks dan situasi yang berlainan.
Bacaan intensif boleh juga boleh dibaca dengan pelbagai dua cara salah satunya ialah membaca pantas. Bacaan pantas adalah satu bentuk kegiatan membaca yang dilakukan dengan kadar kelajuan tertentu dan tujuannya adalah untuk menjimatkan masa. Walau bagaimanapun, membaca yang terlalu laju tidak semestinya baik. Sebaik-baiknya, kadar kelajuan membaca haruslah disesuaikan dengan apa yang dibaca dan tujuan membaca ketika itu.
Membaca yang dilakukan dalam keadaan yang terlalu pantas akan menyebabkan pembaca kehilangan isi-isi penting yang diperlukan atau gagal menggarap keseluruhan konsep yang cuba diketengahkan. Walau bagaimanapun, membaca yang terlalu perlahan tidak pula menguntungkan kerana hanya akan membazirkan masa. Membaca pantas hanya boleh berlaku melalui bacaan senyap atau membaca dalam.
Hal ini demikian kerana dalam bacaan kuat atau bersuara, pembaca akan menurunkan keupayaan membaca mereka pada kadar kelajuan bercakap. Sewaktu membaca kuat, pembaca akan melibatkan pergerakan bibir dan lain-lain alat pengucapan manusia. Selain daripada membaca pantas, kedua-duanya ialah bacaan imbasan yang juga dikenali sebagai scanning adalah kegiatan membaca yang dilakukan secara sepintas lalu. Hal ini disebut sebagai membaca tinjauan. Kebiasaannya, sebelum kegiatan membaca itu dilakukan, pembaca akan meneliti terlebih dahulu bahagian-bahagian buku atau apa sahaja yang harus ditelaah. Hal ini dilakukan untuk mendapatkan maklumat awal dan gambaran keseluruhan tentang buku tersebut sebelum ia menjadi pilihan untuk dibaca.
Membaca sepintas lalu ini melibatkan pembaca memeriksa, meneliti indeks, melihat daftar kata yang terdapat dalam buku tersebut. Kadang kala proses melihat-lihat, memeriksa dan meneliti judul-judul bab juga dilakukan. Hal ini juga berlaku pada skema, rangka kasar buku, bahagian bibliografi, kandungan prakata, pendahuluan, sinopsis, abstrak dan sebagainya

4. Bahan Bacaan Ekstensif
Membaca ekstensif ialah kegiatan membaca secara luas. Objeknya meliputi sebanyak mungkin teks dalam jangka waktu yang singkat. Tujuan atau tuntutan kegiatan membaca ekstensif adalah untuk memahami isi yang penting-penting dengan cepat dan ia menganjurkan aktiviti membaca yang berkesan. Membaca ekstensif biasanya melibatkan perkara-perkara yang berikut:

a. Membaca tinjauan (survey reading)
Membaca tinjauan (survey reading) dilakukan sebelum kita memulakan sesuatu bacaan. Biasanya, kita akan meneliti apa yang akan kita telaah itu terlebih dahulu. Hal ini mungkin melibatkan kita memeriksa, meneliti indeks dan daftar kata yang terdapat dalam buku-buku tersebut atau mungkin kita akan melihat-lihat atau meneliti judul, bab, rangka besar, kandungan dan sebagainya. Latar belakang pengetahuan seseorang akan menentukan tepat atau tidaknya, cepat atau lambatnya tinjauan dapat dilakukan

b. Membaca sekilas (skimming)
Membaca sekilas (skimming) adalah sejenis kegiatan membaca yang melibatkan mata bergerak dengan cepat melihat, memperhatikan bahan-bahan bertulis untuk mencari dan mendapatkan maklumat dan penerangan.

c. Membaca dangkal (superticial reading)

Skimming adalah satu bentuk kegiatan membaca yang dilakukan secara sekilas pandang. Biasanya, melalui proses skimming, mata bergerak dengan cepat, melihat memerhatikan bahan bertulis untuk mendapatkan maklumat atau penerangan dengan serta-merta.

PENDEKATAN DAN KAEDAH MEMBACA




Bagaimana kanak-kanak belajar dalam konteks membaca?
Kanak-kanak sering didedah persekitaran, baik kepada situasi orang yang menutur, membaca, mengira,  mahupun sebaliknya. Kanak-kanak pada peringkat awat sudah terdedah dengan perkara sedemikian, bermaksud mereka lebih senang untuk memaplikasikan pengetahuan atau ilmu yang diberi oleh guru, khusus daripada guru bahasa dalam aspek membaca. Terdapat pelbagai pendekatan pembelajaran membaca yang dapat dikongsikan.

Kaedah dan pendekatan belajar membaca.
Dalam kaedah mengajar membaca khusus kepada murid di peringkat sekolah rendah dan pra sekolah, banyak elemen atau pendekatan yang boleh diambil sebagai asbab kelancaran murid-murid dalam aspek membaca. Antara pendekatan atau kaedah berkenaan, iaitu:

1) Berkongsi membaca 
Menurut Mahzan Arshad (2003:66), kaedah ini memberi peluang kepada murid yang lebih mahir untuk memberi tunjuk ajar atau menjadi model kepada murid  yang kurang mahir. Pendekatan mengajar membaca ini merupakan kaedah yang menggunakan perkongsian bahan bacaan dalam proses penguasaan kemahiran membaca.  Pemindahan atau perkongsian pengetahuan ini dilakukan melalui aktiviti perkongsian buku yang dibaca. Dengan cara ini akan membolehkan mereka  yang kurang mahir membaca akan cuba mengikut pelajar yang mahir membaca sekali gus meniru teknik-teknik yang digunakan oleh murid yang mahir untuk membaca dengan lancar selain dapat memahami makna bahan bacaan tersebut.
Dengan kata lain juga, guru boleh membaca lantang satu cerita dan mengajak murid-murid bersama-sama membaca Cerita akan dibaca beberapa kali, dan murid akan diberi peluang bagi bertindakbalas menerusi penulisan, lukisan, drama, perbincangan, dan pelbagai lagi aktiviti yang menarik. Melalui pendekatan sedemikian, ia lebih memudahkan lagi murid-murid dalam proses mengingati, disamping mereka akan ditugaskan membuat telaah untuk membuat penulisan balik, melukis atau sebagainya setelah proses membaca  ini selesai. Murid-murid boleh juga membuat ringkasan berdasarkan medium yang dibaca, sebagai contoh sekiranya medium yang didedahkan adalah cerita binatang seperti ‘Sang Kancil dan Buaya’, mereka boleh membuat ringkasan penulisan dalam bentuk ayat atau ‘point’ seperti mengatakan  ‘Sang Kancil merupakan binatang yang pintar’, Sang Buaya sering dikenakan oleh Sang Kancil’. Pada peringkat sekolah rendah, sangat mudah untuk mereka faham apa-apa yang ingin disampaikan oleh guru melalui pendekatan ini.

2)Membaca  Lantang
Pilih seorang pelajar untuk membaca lantang bahagian awal teks sementara pelajar lain mengikut bacaan tersebut secara beramai-ramai bincang, bertindakbalas, dan semak telahan. Apabila pelajar berhenti membaca lantang, ceritakan semula atau bincangkan apa yang telah dibaca. Melalui pendekatan membaca lantang ini juga dapat memudahkan para murid untuk belajar membaca, malah secara leterasinya. Guru perlu mengenalpasti murid yang berpotensi untuk membaca lantang, disamping murid-murid  lain yang lemah dengar dan mengikutinya.

3) Kaedah Induktif dan Deduktif
Hasil daripada pemerhatian yang dijalankan contoh pengajaran membaca yang menggunakan pendekatan induktif adalah seperti berikut :
 a. ba / ca bu / ku  =  baca buku
 b. sa / ya ki / ta =  saya kita
Guru akan menerangkan terlebih dahulu contoh yang sesuai kepada murid, sebagai contoh guru akan mengeja perkataan di atas terlebih dahulu sebelum murid mengikutinya. seterusnya pelajar akan dibimbing untuk mengeja perkataan yang seterusnya. Pemberian contoh yang baik akan memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran membaca dijalankan.
            Dalam pendekatan deduktif pula, contoh yang didapati hasil daripada pemerhatian adalah seperti berikut :
 a. me / re / ka ke / re / ta ke / ru / si
 b. be / ri / ta al / ma / ri da / hu / lu
            Pada awalnya guru memperkenalkan perkataan yang mempunyai tiga suku kata. Kemudian murid diminta menyebut satu persatu suku kata tersebut dengan bimbingan guru sehinggalah murid benar-benar faham. Selepas itu, murid akan diperkenalkan dengan perkataan yang mempunyai tiga suku kata yang berlainan sedikit seperti ma / ka / nan, ca / ta / tan, dan him / pu / nan. Pelajar diminta membuat rumus bagi mengkaji perbezaan yang terdapat dalam perkataan tersebut dengan perkataan yang awal tadi.

4)  Pendekatan Abjad Dan Suku Kata

Pendekatan ini menekankan pengenalan abjad dan suku kata kepada murid. Ia boleh dilaksanakan melalui :-
a) Murid mengenali huruf dan juga hubungannya dengan bunyi.
b) Huruf konsonan pula digabungkan dengan huruf vokal menjadikan suku kata
c) Unit-unit kecil vokal juga digabungkan.
d) Pelaksanaan latih tubi sehingga pelajar boleh mengikuti kemahiran yang diajar.
e) Pengukuhan juga dilakukan melalui penulisan.

Kaedah yang paling kerap digunakan ialah kaedah abjad. Kaedah ini disebut kaedah abjad kerana pada permulaannya murid diperkenalkan dengan abjad. Dalam kajian yang dijalankan sejumlah empat subjek menggunakan kaedah ini.  Semasa proses pengajaran dijalankan nama huruf-huruf tersebut disusun dan disebut serentak iaitu daripada A hingga Z. Setelah murid mengenal abjad dan menghafalnya baharulah guru akan mengajar mereka mengeja perkataan-perkataan yang pendek. Misalnya perkataan ibu, bapa, bola dan tiga. Semasa pelajar diajar mengeja, mereka hendaklah disuruh menyebut perkataan tersebut serentak. Misalnya b-a-j-u (baju).
5)Kaedah Fonik

Kaedah fonik merupakan kaedah mengajar membaca dengan melatih murid-murid menghubungkaitkan bunyi-bunyi tertentu dengan lambang-lambang tertentu (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010:414). Jelaslah bahawa kaedah fonik ini merupakan kaedah pengajaran membaca yang lebih menekankan terhadap proses membunyikan huruf-huruf yang hadir dalam teks bacaan. Hal ini kerana kebiasaannya pada peringkat awal, kanak-kanak menghadapi kesukaran untuk memahami perkataan-perkataan yang mempunyai suku kata yang panjang dan banyak. Hal ini telah menyebabkan mereka gagal untuk memahami makna perkataan tersebut. Oleh sebab itu, sebagai langkah awal, kanak-kanak perlu diajar untuk menyebut huruf-huruf yang hadir dalam perkataan kerana dengan cara ini mereka akan mencuba untuk menyebut bunyi huruf-huruf tersebut dengan sebutan yang betul sekali gus mereka akan melatih diri mereka untuk mengeja suku kata perkataan tersebut.        
            Selain itu, menurut Naffi Mat (2006:87), kaedah fonik ini amat bersesuaian dengan pelajar KBSR. Hal ini kerana pendekatan ini lebih mementingkan kaedah bunyi fonem yang merupakan hasil gabungan antara suku kata dan kaedah pandang sebut. Sebagai contohnya, jika guru menunjukkan huruf “m” sambil menyebutnya, murid-murid akan mengikut bunyi yang disebut oleh guru sehingga mereka dapat mengingati huruf berserta bunyi bagi huruf tersebut. Kemudian guru akan menggabungkan huruf konsonan dengan huruf vokal bagi membentuk suku kata seperti “m” + “a” = “ma”. Jika proses pengajaran berjalan dengan lancar, guru boleh melanjutkan pembelajaran dengan membentuk satu suku kata tertutup yang lain”, iaitu “mak”. Guru boleh menggabungkan kedua-dua suku kata tersebut untuk membentuk perkataan “mamak’ dan guru boleh meminta murid-murid untuk membaca perkataan “mamak” secara berulang kali sehingga murid-murid mahir dan menguasai makna perkataan tersebut.
Pada awalnya guru memperkenalkan sesuatu huruf kepada murid dengan menunjukkan bentuk huruf tersebut bersama gambar benda yang namanya bermula dengan huruf fonik tersebut. Misalnya guru menunjukkan gambar ayam dengan huruf a, dan gambar bola dengan huruf b. Sambil memperlihatkan gambar dan huruf awal yang berkaitan guru menyebut fonik huruf tersebut. Misalnya ‘aa’ (a) iaitu ayam dan ‘bi’ (b) iaitu bola. Selepas pelajar mengenal bentuk dan bunyi fonik huruf-huruf yang berkaitan baharulah murid tadi diajar mencantumkan bunyi huruf berkenaan menjadi suku kata atau perkataan.
Kaedah suku kata juga diterapkan semasa pengajaran dan pembelajaran membaca awal dijalankan. Sejumlah dua subjek yang menggunakan kaedah ini. Daripada pemerhatian dan temu bual, kaedah suku kata dimulakan dengan mencantumkan satu huruf konsonan dan vokal. Misalnya ka-ki-ku, pa-pi-pu, dan ra-ri-ru. Seterusnya murid diajar membaca perkataan-perkataan yang mudah dengan cara mencantumkan suku-suku kata yang telah diajar tadi. Contohnya kaki, para, dan pari.

6)Kaedah pandang sebut
Pendekatan ini merupakan kaedah yang dimulakan dengan mendedahkan murid kepada perkataan-perkataan. Kaedah ini berbeza dengan pendekatan kaedah fonik yang lebih mementingkan pembelajaran huruf (fonem) atau suku kata kepada murid terlebih dahulu. Proses pengajaran dengan menggunakan kaedah ini boleh dimulakan dengan aktiviti memandang dan menyebut beberapa perkataan. Guru boleh menggunakan alat bantu mengajar (ABM) dengan menyediakan beberapa keping gambar yang melambangkan perkataan-perkataan yang disebut. Oleh itu, murid boleh melihat gambar yang ditunjukkan oleh guru dan mereka perlu menyebut perkataan-perkataan yang mewakili gambar-gambar tersebut dengan tepat.
            Selain itu, kaedah ini berfungsi dengan murid perlu mengecam dan mengenal pasti keseluruhan perkataan. Setelah pelajar berjaya mengecam perkataan tersebut, murid tidak mengeja atau membunyikan suku kata perkataan tersebut, tetapi murid perlu menyebut perkataan tersebut. Dengan erti kata lain, dalam  konteks ayat pendek dan mudah, murid-murid tidak mengeja satu persatu perkataan yang terdapat dalam binaan ayat tersebut, tetapi murid-murid akan terus menyebut ayat tersebut setelah mereka mampu mengecam ayat tersebut. Kaedah ini memerlukan latih tubi yang berterusan kerana tahap murid-murid yang mampu untuk  menguasai kemahiran membaca terus adalah berbeza-beza. Hal ini kerana kebiasaannya pada peringkat awal, kanak-kanak sukar untuk menyebut perkataan-perkataan atau rangkai kata tanpa perlu mengeja terlebih dahulu.
 Dalam pengajaran dan pembelajaran membaca mengikut kaedah ini, guru akan menggunakan kad bagi memperlihatkan sesuatu perkataan. Guru pula akan menyebut perkataan tersebut dan murid akan mengikutnya secara beramai-ramai dengan cara mengenal bentuk dan lambang perkataan. Misalnya perkataan bola, abang, adik dan limau. Setelah murid mengenali beberapa perkataan asas. Guru akan mengajar murid membaca ayat-ayat yang mudah dibina berdasarkan perkataan-perkataan asas yang sudah dikenali oleh murid. Bermaksud murid telah disediakan beberapa perkataan yang khusus, yang murid hanya perlu membina beberapa satu berdasarkan dengan perkataan yang diberi.
Contoh :
 1. Abang ada bola.
 2. Adik ada bola.
 3. Abang dan adik ada bola.
Selain itu, daripada pemerhatian yang dijalankan guru kadangkala menggunakan buku teks yang disediakan sebagai bahan bantu untuk mengajar kaedah pandang sebut.

7)Kaedah Multisensory ( sentuh, pandang dan dengar)
Rangsangan yang diberikan kepada pelbagai deria yang ada (sentuh, pandang, dan dengar) akan meningkatkan dan mempercepatkan pemahaman anak-anak kepada asas-asas kemahiran membaca. Untuk menguasai kemahiran membaca dengan baik seseorang kanak-kanak itu sekurang-kurangnya perlu dirangsang deria pandang dan deria dengarnya. Ini kerana melalui deria pandang anak-anak akan kita perkenalkan dengan bentuk-bentuk huruf sementara deria dengar pula memberikan maklumat bunyi (fonik) huruf yang dilihatnya. Dalam banyak kes membenarkan anak-anak merasa atau menyentuh bentuk-bentuk huruf (melalui keratan huruf atau huruf yang dibentuk menggunakan tanah liat contohnya) akan memperkukuhkan lagi apa yang dilihat dan didengarinya.

8)Membacakan Carta Dan Buku Kepada Kanak-Kanak


Apabila orang dewasa membacakan carta atau buku kepada kanak-kanak, tunjuk dengan jari di bawah perkataan atau huruf. Gerakkan jari dari arah kiri ke kanan untuk memberi penekanan bermula dari kiri ke kanan sama ada membaca atau menulis dan menjarakkan antara perkataan. Memperkenalkan nama pengarang dapat membantu kanak-kanak menyedari bahawa pengarang buku itu mecipta cerita dan apa yang direka boleh ditulis. Semasa membacakan perkataan atau huruf hendaklah dengan jelas dan sebutan yang betul. Pembaca perlu jelas dalam aspek sebutan perkatan atau ayat supaya murid-murid dapat menangkapnya dengan berkesan.

PENTAKSIRAN MEMBACA



Pentaksiran                                                         
Pentaksiran merupakan satu proses mendapatkan maklumat seterusnya membuat penghakiman dan pertimbangan tentang produk sesuatu pendidik. Dalam konteks pendidikan pula, pentaksiran adalah satu proses yang merangkumi aktiviti menghurai, mengumpul, merekod, memberi skor dan menginterpretasikan maklumat. Dalam masa sama, terdapat beberapa aspek utama dalam pentaksiran:-
a) Instrumen
b) Kumpulan sasar
c) Respon
d) Kumpulan yang penaksir, dan
e) Skor.
Pentaksiran juga ditakrifkan sebagai sebuah kaedah untuk menentukan tahap sesuatu antribut ataupun ciri yang diperoleh oleh seseorang pelajar setelah melalui proses pengajaran dan pembelajaran (P & P). Selain itu, proses pentaksiran ini mempergunakan bukti empirikal yang sahih bagi mengakuantifikasikan ketepatan antribut/ciri penguasaan pelajar. Dalam pada itu, pentaksiran ini dapat dibahagikan kepada empat kategori, iaitu pentaksiran sumatif, pentaksiran formatif, pentaksiran berasaskan prestasi dan pentaksiran internal dan external. Hal ini dapat dilihat empat kategori sepertimana yang berikut:-
a) Pentaksiran Sumatif – (Ia dilakukan di akhir pembelajaran)
ü  Berfungsi sebagai penentu ketika melakukan pemberian gred kursus.

b) Pentaksiran Formatif – (berlaku sepanjang sesuatu kursus)
ü  Dalam pengajaran dan pembelajaran (P & P) pentaksiran formatif melibatkan guru atau murid serta memberi maklum balas terhadap kerja murid.
ü  Fokus dalam pentaksiran ini pemberian gred serta membandingkan pencapaian pelajar.

c) Pentaksiran Berasaskan Prestasi Sumatif
ü  Pentaksiran ini melihat kepada kesempurnaan tugasan yang telah diberikan kepada murid, iaitu mencipta pengakhiran sesuatu dengan mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran dalam dunia sebenar. Prestasi murid diukur daripada produk yang dihasilkan.

     d) Pentaksiran Internal dan External
ü  Pentaksiran Internal ditentukan dan disemak oleh guru, iaitu murid memperoleh markah dan maklum balas daripada pentaksiran yang dilakukan.
ü  Pentaksiran External pula ditentukan oleh sebuah badan seperti Majlis Peperiksaan Malaysia. Kertas pentaksiran disemak oleh pakar dari luar dan markah pentaksiran sahaja akan dimaklumkan kepada murid, namun kelemahan mereka tidak dimaklumkan.

Pentaksiran Membaca

Pentaksiran membaca merupakan penilaian kemahiran membaca yang penting kepada guru untuk mengetahui tahap pembelajaran pelajar. Penilaian ini melibatkan pelbagai bentuk penilaian dan jenis pengujian. Oleh yang demikian, kemahiran membaca merupakan satu keupayaan para pelajar untuk membaca ayat dengan lancar serta sebutan intonasi dan jeda yang betul. Dalam masa yang sama , penekanan perlu diberikan dalam aspek kefahaman dan penaakulan pelbagai bahan secara berkesan dengan menggunakan pelbagai teknik membaca contohnya SQ3R, KWL dan sebagainya.
Terdapat ciri-ciri dalam penilaian membaca, iaitu penilaian menjelaskan kemajuan pembelajaran seorang murid, penilaian proses yang berterusan, penilaian menghendaki sampel kerja pelajar yang mencukupi, bukannya setakat prestasi dan pengetahuan di peringkat pembelajaran malah pasca pembelajaran, perubahan tingkah laku murid-murid, penilaian murid itu sendiri dan penilaian ini bersifat terbuka dan tiada batasan. Sementara itu, para psikolinguistik mengkategorikan matlamat membaca dalam tiga kategori utama bagi tujuan penilaian, yakni dalam matlamat persepsi, kognitif, dan matlamat afektif.
Seterusnya, proses penilaian ataupun pentaksiran membaca dibahagikan kepada tiga, iaitu yang pertama mengenal pasti idea keseluruhan, kedua mengenal idea utama dan sokongan, dan ketiga membuat ramalan dan kesimpulan. Secara kesimpulannya, pentaksiran amat penting dalam memberi skop penilaian dalam pembelajaran dan pembelajaran (P & P) oleh guru dalam mengenal pasti kekurangan dan kelebihan pelajar dalam menilai kemahiran membaca.

Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)
Secara keseluruhannya, pentaksiran yang merangkumi skop yang lebih besar yakni Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) merupakan satu perubahan baharu dalam sistem pendidikan negara, yang diperkenalkan dalam Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK). PBS merupakan satu pentaksiran yang bersifat holistik yang mampu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM). PBS dioptimumkan untuk mentaksir bidang akademik dan bukan akademik.
 Selain itu, PBS memberikan pengiktirafan atau autonomi kepada guru dalam melaksanakan pentaksiran formatif dan sumatif. Dalam pada itu, PBS mempunyai komponen dalam sistem penaksiran kebangsaan merangkumi Pentaksiran Sekolah, Pentaksiran Pusat, Pentaksiran aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum dan Pentaksiran psikometrik. Terdapat objektif utama dalam PBS, iaitu mendapatkan gambaran secara keseluruhan tentang potensi individu, memantau pertumbuhan dan membantu meningkatkan potensi individu, dan membuat pelaporan bermakna tentang pembelajaran individu.

Kesimpulannya, penaksiran pendidikan negara bertujuan mendapatkan maklumat tentang prestasi murid bagi memperkembangkan sepenuhnya potensi setiap individu sebagai modal insan yang harmonis dan seimbang selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).