Bagaimana kanak-kanak belajar dalam konteks membaca?
Kanak-kanak
sering didedah persekitaran, baik kepada situasi orang yang menutur, membaca,
mengira, mahupun sebaliknya. Kanak-kanak
pada peringkat awat sudah terdedah dengan perkara sedemikian, bermaksud mereka
lebih senang untuk memaplikasikan pengetahuan atau ilmu yang diberi oleh guru,
khusus daripada guru bahasa dalam aspek membaca. Terdapat pelbagai pendekatan
pembelajaran membaca yang dapat dikongsikan.
Kaedah dan pendekatan belajar membaca.
Dalam
kaedah mengajar membaca khusus kepada murid di peringkat sekolah rendah dan pra
sekolah, banyak elemen atau pendekatan yang boleh diambil sebagai asbab
kelancaran murid-murid dalam aspek membaca. Antara pendekatan atau kaedah
berkenaan, iaitu:
1) Berkongsi
membaca
Menurut
Mahzan Arshad (2003:66), kaedah ini memberi peluang kepada murid yang lebih
mahir untuk memberi tunjuk ajar atau menjadi model kepada murid yang kurang mahir. Pendekatan mengajar
membaca ini merupakan kaedah yang menggunakan perkongsian bahan bacaan dalam
proses penguasaan kemahiran membaca.
Pemindahan atau perkongsian pengetahuan ini dilakukan melalui aktiviti
perkongsian buku yang dibaca. Dengan cara ini akan membolehkan mereka yang kurang mahir membaca akan cuba mengikut
pelajar yang mahir membaca sekali gus meniru teknik-teknik yang digunakan oleh
murid yang mahir untuk membaca dengan lancar selain dapat memahami makna bahan
bacaan tersebut.
Dengan
kata lain juga, guru boleh membaca lantang satu cerita dan mengajak murid-murid
bersama-sama membaca Cerita akan dibaca beberapa kali, dan murid akan diberi
peluang bagi bertindakbalas menerusi penulisan, lukisan, drama, perbincangan,
dan pelbagai lagi aktiviti yang menarik. Melalui pendekatan sedemikian, ia
lebih memudahkan lagi murid-murid dalam proses mengingati, disamping mereka
akan ditugaskan membuat telaah untuk membuat penulisan balik, melukis atau
sebagainya setelah proses membaca ini
selesai. Murid-murid boleh juga membuat ringkasan berdasarkan medium yang
dibaca, sebagai contoh sekiranya medium yang didedahkan adalah cerita binatang
seperti ‘Sang Kancil dan Buaya’, mereka boleh membuat ringkasan penulisan dalam
bentuk ayat atau ‘point’ seperti mengatakan
‘Sang Kancil merupakan binatang yang pintar’, Sang Buaya sering
dikenakan oleh Sang Kancil’. Pada peringkat sekolah rendah, sangat mudah untuk
mereka faham apa-apa yang ingin disampaikan oleh guru melalui pendekatan ini.
2)Membaca Lantang
Pilih
seorang pelajar untuk membaca lantang bahagian awal teks sementara pelajar lain
mengikut bacaan tersebut secara beramai-ramai bincang, bertindakbalas, dan
semak telahan. Apabila pelajar berhenti membaca lantang, ceritakan semula atau
bincangkan apa yang telah dibaca. Melalui pendekatan membaca lantang ini juga
dapat memudahkan para murid untuk belajar membaca, malah secara leterasinya.
Guru perlu mengenalpasti murid yang berpotensi untuk membaca lantang, disamping
murid-murid lain yang lemah dengar dan
mengikutinya.
3)
Kaedah Induktif dan Deduktif
Hasil
daripada pemerhatian yang dijalankan contoh pengajaran membaca yang menggunakan
pendekatan induktif adalah seperti berikut :
a. ba / ca bu / ku = baca
buku
b. sa / ya ki / ta = saya kita
Guru
akan menerangkan terlebih dahulu contoh yang sesuai kepada murid, sebagai
contoh guru akan mengeja perkataan di atas terlebih dahulu sebelum murid
mengikutinya. seterusnya pelajar akan dibimbing untuk mengeja perkataan yang
seterusnya. Pemberian contoh yang baik akan memudahkan proses pengajaran dan
pembelajaran membaca dijalankan.
Dalam pendekatan deduktif
pula, contoh yang didapati hasil daripada pemerhatian adalah seperti berikut :
a. me / re / ka ke / re / ta ke / ru / si
b. be / ri / ta al / ma / ri da / hu / lu
Pada
awalnya guru memperkenalkan perkataan yang mempunyai tiga suku kata. Kemudian
murid diminta menyebut satu persatu suku kata tersebut dengan bimbingan guru
sehinggalah murid benar-benar faham. Selepas itu, murid akan diperkenalkan
dengan perkataan yang mempunyai tiga suku kata yang berlainan sedikit seperti
ma / ka / nan, ca / ta / tan, dan him / pu / nan. Pelajar diminta membuat rumus
bagi mengkaji perbezaan yang terdapat dalam perkataan tersebut dengan perkataan
yang awal tadi.
4)
Pendekatan Abjad Dan Suku Kata
Pendekatan
ini menekankan pengenalan abjad dan suku kata kepada murid. Ia boleh
dilaksanakan melalui :-
b)
Huruf konsonan pula digabungkan dengan huruf vokal menjadikan suku kata
c)
Unit-unit kecil vokal juga digabungkan.
d)
Pelaksanaan latih tubi sehingga pelajar boleh mengikuti kemahiran yang diajar.
e)
Pengukuhan juga dilakukan melalui penulisan.
Kaedah
yang paling kerap digunakan ialah kaedah abjad. Kaedah ini disebut kaedah abjad
kerana pada permulaannya murid diperkenalkan dengan abjad. Dalam kajian yang
dijalankan sejumlah empat subjek menggunakan kaedah ini. Semasa proses pengajaran dijalankan nama
huruf-huruf tersebut disusun dan disebut serentak iaitu daripada A hingga Z.
Setelah murid mengenal abjad dan menghafalnya baharulah guru akan mengajar
mereka mengeja perkataan-perkataan yang pendek. Misalnya perkataan ibu, bapa,
bola dan tiga. Semasa pelajar diajar mengeja, mereka hendaklah disuruh menyebut
perkataan tersebut serentak. Misalnya b-a-j-u (baju).
5)Kaedah
Fonik
Kaedah fonik merupakan kaedah mengajar membaca dengan melatih murid-murid menghubungkaitkan bunyi-bunyi tertentu dengan lambang-lambang tertentu (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010:414). Jelaslah bahawa kaedah fonik ini merupakan kaedah pengajaran membaca yang lebih menekankan terhadap proses membunyikan huruf-huruf yang hadir dalam teks bacaan. Hal ini kerana kebiasaannya pada peringkat awal, kanak-kanak menghadapi kesukaran untuk memahami perkataan-perkataan yang mempunyai suku kata yang panjang dan banyak. Hal ini telah menyebabkan mereka gagal untuk memahami makna perkataan tersebut. Oleh sebab itu, sebagai langkah awal, kanak-kanak perlu diajar untuk menyebut huruf-huruf yang hadir dalam perkataan kerana dengan cara ini mereka akan mencuba untuk menyebut bunyi huruf-huruf tersebut dengan sebutan yang betul sekali gus mereka akan melatih diri mereka untuk mengeja suku kata perkataan tersebut.
Selain itu, menurut Naffi Mat (2006:87),
kaedah fonik ini amat bersesuaian dengan pelajar KBSR. Hal ini kerana
pendekatan ini lebih mementingkan kaedah bunyi fonem yang merupakan hasil
gabungan antara suku kata dan kaedah pandang sebut. Sebagai contohnya, jika
guru menunjukkan huruf “m” sambil menyebutnya, murid-murid akan mengikut bunyi
yang disebut oleh guru sehingga mereka dapat mengingati huruf berserta bunyi
bagi huruf tersebut. Kemudian guru akan menggabungkan huruf konsonan dengan
huruf vokal bagi membentuk suku kata seperti “m” + “a” = “ma”. Jika proses
pengajaran berjalan dengan lancar, guru boleh melanjutkan pembelajaran dengan
membentuk satu suku kata tertutup yang lain”, iaitu “mak”. Guru boleh
menggabungkan kedua-dua suku kata tersebut untuk membentuk perkataan “mamak’
dan guru boleh meminta murid-murid untuk membaca perkataan “mamak” secara
berulang kali sehingga murid-murid mahir dan menguasai makna perkataan
tersebut.
Pada
awalnya guru memperkenalkan sesuatu huruf kepada murid dengan menunjukkan
bentuk huruf tersebut bersama gambar benda yang namanya bermula dengan huruf
fonik tersebut. Misalnya guru menunjukkan gambar ayam dengan huruf a, dan
gambar bola dengan huruf b. Sambil memperlihatkan gambar dan huruf awal yang
berkaitan guru menyebut fonik huruf tersebut. Misalnya ‘aa’ (a) iaitu ayam dan
‘bi’ (b) iaitu bola. Selepas pelajar mengenal bentuk dan bunyi fonik
huruf-huruf yang berkaitan baharulah murid tadi diajar mencantumkan bunyi huruf
berkenaan menjadi suku kata atau perkataan.
Kaedah
suku kata juga diterapkan semasa pengajaran dan pembelajaran membaca awal
dijalankan. Sejumlah dua subjek yang menggunakan kaedah ini. Daripada
pemerhatian dan temu bual, kaedah suku kata dimulakan dengan mencantumkan satu
huruf konsonan dan vokal. Misalnya ka-ki-ku, pa-pi-pu, dan ra-ri-ru. Seterusnya
murid diajar membaca perkataan-perkataan yang mudah dengan cara mencantumkan
suku-suku kata yang telah diajar tadi. Contohnya kaki, para, dan pari.
6)Kaedah
pandang sebut
Pendekatan
ini merupakan kaedah yang dimulakan dengan mendedahkan murid kepada
perkataan-perkataan. Kaedah ini berbeza dengan pendekatan kaedah fonik yang
lebih mementingkan pembelajaran huruf (fonem) atau suku kata kepada murid
terlebih dahulu. Proses pengajaran dengan menggunakan kaedah ini boleh
dimulakan dengan aktiviti memandang dan menyebut beberapa perkataan. Guru boleh
menggunakan alat bantu mengajar (ABM) dengan menyediakan beberapa keping gambar
yang melambangkan perkataan-perkataan yang disebut. Oleh itu, murid boleh
melihat gambar yang ditunjukkan oleh guru dan mereka perlu menyebut
perkataan-perkataan yang mewakili gambar-gambar tersebut dengan tepat.
Selain itu, kaedah ini berfungsi
dengan murid perlu mengecam dan mengenal pasti keseluruhan perkataan. Setelah
pelajar berjaya mengecam perkataan tersebut, murid tidak mengeja atau
membunyikan suku kata perkataan tersebut, tetapi murid perlu menyebut perkataan
tersebut. Dengan erti kata lain, dalam
konteks ayat pendek dan mudah, murid-murid tidak mengeja satu persatu
perkataan yang terdapat dalam binaan ayat tersebut, tetapi murid-murid akan
terus menyebut ayat tersebut setelah mereka mampu mengecam ayat tersebut.
Kaedah ini memerlukan latih tubi yang berterusan kerana tahap murid-murid yang
mampu untuk menguasai kemahiran membaca
terus adalah berbeza-beza. Hal ini kerana kebiasaannya pada peringkat awal,
kanak-kanak sukar untuk menyebut perkataan-perkataan atau rangkai kata tanpa
perlu mengeja terlebih dahulu.
Dalam pengajaran dan pembelajaran membaca
mengikut kaedah ini, guru akan menggunakan kad bagi memperlihatkan sesuatu
perkataan. Guru pula akan menyebut perkataan tersebut dan murid akan
mengikutnya secara beramai-ramai dengan cara mengenal bentuk dan lambang
perkataan. Misalnya perkataan bola, abang, adik dan limau. Setelah murid
mengenali beberapa perkataan asas. Guru akan mengajar murid membaca ayat-ayat
yang mudah dibina berdasarkan perkataan-perkataan asas yang sudah dikenali oleh
murid. Bermaksud murid telah disediakan beberapa perkataan yang khusus, yang
murid hanya perlu membina beberapa satu berdasarkan dengan perkataan yang
diberi.
Contoh
:
1. Abang ada bola.
2. Adik ada bola.
3. Abang dan adik ada bola.
Selain
itu, daripada pemerhatian yang dijalankan guru kadangkala menggunakan buku teks
yang disediakan sebagai bahan bantu untuk mengajar kaedah pandang sebut.
7)Kaedah
Multisensory ( sentuh, pandang dan dengar)
Rangsangan
yang diberikan kepada pelbagai deria yang ada (sentuh, pandang, dan dengar)
akan meningkatkan dan mempercepatkan pemahaman anak-anak kepada asas-asas
kemahiran membaca. Untuk menguasai kemahiran membaca dengan baik seseorang
kanak-kanak itu sekurang-kurangnya perlu dirangsang deria pandang dan deria
dengarnya. Ini kerana melalui deria pandang anak-anak akan kita perkenalkan
dengan bentuk-bentuk huruf sementara deria dengar pula memberikan maklumat
bunyi (fonik) huruf yang dilihatnya. Dalam banyak kes membenarkan anak-anak
merasa atau menyentuh bentuk-bentuk huruf (melalui keratan huruf atau huruf
yang dibentuk menggunakan tanah liat contohnya) akan memperkukuhkan lagi apa
yang dilihat dan didengarinya.
8)Membacakan
Carta Dan Buku Kepada Kanak-Kanak
Apabila
orang dewasa membacakan carta atau buku kepada kanak-kanak, tunjuk dengan jari
di bawah perkataan atau huruf. Gerakkan jari dari arah kiri ke kanan untuk
memberi penekanan bermula dari kiri ke kanan sama ada membaca atau menulis dan
menjarakkan antara perkataan. Memperkenalkan nama pengarang dapat membantu
kanak-kanak menyedari bahawa pengarang buku itu mecipta cerita dan apa yang
direka boleh ditulis. Semasa membacakan perkataan atau huruf hendaklah dengan
jelas dan sebutan yang betul. Pembaca perlu jelas dalam aspek sebutan perkatan
atau ayat supaya murid-murid dapat menangkapnya dengan berkesan.


terbaik larhhhhhh....bahagian kaedah dan pendekatan ni.
ReplyDelete